‘Jangan ada seorang pun ahli PAS yang tak ada nama’
March 21, 2025
Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato’ Rosli Abdul Jabar menyerahkan 'mock check' sumbangan RM57,000 yang dikumpul pada majlis majlis iftar kepada Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
KUANTAN: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru agar tidak ada seorang pun ahli parti yang tercicir menyumbang nama sebagai pembeli tanah wakaf kerana sahamnya kekal sampai hari kiamat.
“Hasrat saya, hasrat kita bersamalah, jangan ada sorang pun ahli PAS yang tak ada saham dalam tanah ni….ya.
“Jangan ada sorang pun ahli PAS yang tak ada saham dalam tanah ni. Ikhtiarlah walaupun sepuluh ringgit, belilah, waqaflah atas nama mak kita, ayah kita, pak mertua kita, sebab ini tanah…tanah ini tuan-tuan, pahala dia kekal sampai kiamat. Tak pe tak banyak, tapi biar ada saham atas tanah ni,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam program Iftar Ramadan PAS Pahang bagi tujuan mengumpul dana pembangunan Pusat Konvensyen dan Pentadbiran PAS Pusat, di sini petang semalam. Sebanyak RM57,000 berjaya dikumpul pada majlis itu.
Tuan Ibrahim turut mengimbau apa yang pernah disebut oleh mantan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Noor suatu Ketika dahulu.
Katanya, Almarhum meninggalkan satu amanat dan legasi berharga kepada ahli-ahli PAS agar tidak terlalu memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan sebaliknya membuat apa termampu ketika masih hidup.
“Dalam sebarang projek semasa yang dibangunkan, kita buat saja apa termampu, selebihnya penyambung kita akan meneruskan usaha kita andai kita sudah tidak ada lagi di dunia.
“Almarhum Ustaz Fadzil berkata, kita tak perlu fikir jauh, kita perlu buat apa yang kita mampu di zaman kita.
“Kita mampu beli tanah, kita beli tanah, ya…pembangunan masa depan mungkin tak sempat dengan kita, tapi insya-Allah penyambung kita akan sambung usaha kita,” ujarnya.
Menurutnya, Almarhum Presiden PAS tidak sempat menyaksikan Kompleks PAS Kedah tertegak tetapi sempat menyaksikan tanah itu dibeli di zamannya.
“Kompleks PAS Kedah dibeli di atas sebidang tanah bendang, nak timbun saja beratus lori, tapi Ustaz Fadzil kata, beli, buat apa yang kita mampu, lepas ni akan disambung.
“Almarhum tak sempat menyaksikan Kompleks PAS Kedah tertegak, tapi dia sempat menyaksikan tanah itu dibeli di zaman dia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 21/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan