
Nora failkan cerai hari ini
Oleh Affan Rostam - Mac 19, 2025 @ 4:14pm
Nora dipercayai memfailkan perceraian terhadap Dr Rushdi Ramli di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini. - Foto IG Nora Ariffin
KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Nora Ariffin dipercayai sudah memfailkan perceraian terhadap suami, Dr Rushdi Ramli di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.
Melalui entri terbaharu dimuat naik Instagram (IG), penyanyi Renungan Terakhir itu menjelaskan apa dilakukan bukanlah atas kehendak dirinya.
Nora sebaliknya mendakwa, langkah diambil adalah demi memenuhi permintaan isteri pertama Dr Rushdi, Ustazah Rose Aliza Sutrisno termasuk desakan pihak ketiga.
"Saya buat permohonan ini bukan atas kehendak hati kerana saya tahu berdosa tapi kerana ingin menunaikan hajat isteri pertama dari dulu lagi, iaitu Ustazah Rose Aliza Sutrisno yang mahu kembali monogami dan juga atas desakan anak/orang ketiga (saya ada bukti) supaya kami berpisah.
"Buat ustazah, moga Ramadan kali ini, doa ustazah akan termakbul," tulis Nora.
Pada entri sama, Nora turut mendakwa perceraian kali pertama antara dirinya dan Dr Rushdi juga dilakukan atas desakan pihak tertentu.
"Harap ustaz pun akan ikut sahaja sebagai mana lafaz talak yang pertama dulu (lepas kami bersama solat subuh) dapat panggilan, desakan dari orang ketiga, minta ustaz ceraikan saya 'on the spot' dan rakam lafaz cerai sebagai bukti. Allah sahaja yang tahu.
"Malah kenyataan jujur terbaru ustaz pun diminta oleh orang terdekat untuk 're-edit'. Allahuakbar moga Allah ampuni dosa-dosa saya," tulisnya.
Pada 12 Ogos tahun lalu, Nora memuat naik video Rushdi menceraikannya dengan talak satu dalam video berdurasi 52 saat dalam IG.
Bagaimanapun, Nora berkata, perceraian berlaku sebelum tarikh video dimuat naik.
BH kemudian melaporkan Nora mengesahkan sudah rujuk semula dengan Rushdi pada 14 September 2024.
Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021, malah Dr Rushdi adalah sahabat baik bekas suami Nora iaitu Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.
Ulasan
Catat Ulasan