

Berita
Perbualan bocor: Dompet hilang, speaker terima RM50k dari ahli perniagaan
Diterbitkan: Mar 10, 2025 4:37 PM
Dikemaskini: 5:03 PM
Seorang ahli perniagaan yang mengaitkan Speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya, dalam skandal rasuah di negeri itu mengeluarkan mesej WhatsApp yang didakwa menunjukkan komunikasi antara mereka.
Dalam perbualan yang bocor dari 30 Mei 2024 itu, Kadzim dikatakan memberitahu ahli perniagaan terbabit bahawa dia telah kehilangan dompetnya dan meminta pendahuluan tunai.
“Kamu boleh potong daripada apa yang kamu perlu bayar kepada saya,” tulis speaker itu sambil meminta maaf dan menambah, dia terpaksa menghubungi banknya untuk menyekat kad dan akaun berkaitan kerana "takut disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab".
Ahli perniagaan itu bersetuju, lalu berjanji untuk menyerahkan RM50,000 pada hari berikutnya.
Dalam salah satu mesej yang didakwa itu, speaker berkenaan juga meminta agar "dompet yang hilang" itu tidak disebut di hadapan isterinya kerana bimbang wanita terbabit akan "buat bising".
Menjawab perkara itu, Kadzim mengakui mesej berkenaan namun menegaskan ia adalah permintaan untuk meminjam wang daripada ahli perniagaan terbabit.
“Ia bukan seperti pendahuluan kepada sebahagian pembayaran.
"Ia adalah meminta untuk meminjamkan wang tunai semasa cuba menyelesaikan perkara itu.
"Tetapi apabila kami bertemu beberapa ketika kemudian di KK, saya menawarkan untuk membayar balik, dan dia berkata, 'tak apalah nanti'. Itu sahaja,” katanya kepada Malaysiakini.
Berikut adalah mesej WhatsApp yang bocor itu:



Ulasan
Catat Ulasan