'Saya tetap yakin dengan institusi kehakiman' - Syed Saddiq


'Saya tetap yakin dengan institusi kehakiman' - Syed Saddiq

19 Mac 2025 10:03am
Masa membaca: 2 minit

Syed Saddiq ditemani ahli keluarga melakukan sidang akhbar sebelum prosiding rayuan berhubung sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Armada di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Rabu. Foto SINAR HARIAN

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin institusi kehakiman akan menjadi benteng terakhir buat dirinya untuk membuktikan bersih daripada pertuduhan dikenakan.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, dia telah disiasat sejak lima tahun lalu dan kini tiba masanya kebenaran akan dibuktikan di Mahkamah Rayuan, di sini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan bahawa institusi kehakiman akan menjadi tempat membersihkan nama dan membuktikan integriti yang ada pada dirinya.

"Kes ini lebih besar daripada saya sebenarnya kerana ia boleh bawa kepada politik matang dan bukannya sogok menyogok.


"Saya akan buktikan ia sebagai budaya politik baharu. Malah saya juga tidak minta banyak supaya kebenaran ini ditegakkan," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Tambah beliau lagi, dia meletak dan menyerahkan sepenuhnya nasib kepada ALLAH bagi menentukan yang terbaik.

Kata beliau, dengan segala fakta kebenaran diberikan kepada mahkamah, ALLAH adalah penentu segalanya.

Diusik tentang kehadiran 'insan penting' pelakon dan penyanyi, Bella Astilah yang hadir sama dalam sesi rayuan, Syed Saddiq berkata, dia sentiasa terhutang budi dengan selebriti hebat itu.

Jelasnya, Bella ialah seorang wanita yang luar biasa dan berterima kasih atas sokongan diberikan.

Sementara itu, kedua ibu bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah dan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz yakin anak mereka akan beroleh kejayaan atas perjuangan yang dilakukan selama ini.

Keduanya menyatakan sokongan penuh dan berdoa agar di bulan yang mulia ini, kemenangan akan berpihak kepada Syed Saddiq.

Ulasan