
Tukang rumah dipenjara 10 bulan kerana simpan buku lima besi
18 Mac 2025, 12:06pm
Affendi Mohd Shalleh ketika di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, hari ini. – FOTO: NSTP
BATU PAHAT: Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki buku lima besi tanpa kebenaran sah.
Mohamad Fitry Amirul Ezzy Abdullah, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata berbahaya itu di tempat awam, iaitu di hadapan sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong, Semerah, pada jam 12.30 tengah malam, 15 Mac lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu sebuah rumah dan menahan tertuduh sebelum menemui buku lima yang disimpan dalam saku seluarnya.
Tertuduh mendakwa senjata itu adalah pemberian datuknya dan dibawa untuk tujuan pertahanan diri ketika berkunjung ke rumah rakannya pada hari kejadian.
Susulan penemuan senjata berbahaya itu, tertuduh ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan, iaitu 15 Mac lalu.
Ulasan
Catat Ulasan