Ungkap 13 Mei sebagai peringatan untuk kukuhkan perpaduan



Ungkap 13 Mei sebagai peringatan untuk kukuhkan perpaduan
UNGKAPAN 13 Mei untuk bukan sahaja menyedarkan tetapi memperingat dan memberi amaran tentang satu peristiwa yang harus dielakkan dengan apa jua cara sekalipun.
Oleh Teo Kok Seong
11 Mac 2025, 8:00 am

UNGKAPAN 13 Mei yang digunakan sesetengah pihak, khususnya etnik Melayu, waima sebagai peringatan, apatah lagi selaku amaran, apabila hubungan etnik menjadi tegang, rata-ratanya amat tidak disenangi oleh etnik bukan Melayu. Ini kerana ia didapati bukan sahaja mahu mengulangi sebab dan kesan peristiwa berdarah itu tetapi dianggap sebagai tindakan untuk menakut-nakutkan etnik bukan Melayu.

Sehubungan kesilapan dalam hubungan etnik, kaum bukan Melayu merasakan hanya individu tertentu yang terlibat sahaja harus dipertanggungjawab. Justeru, tiada keperluan langsung untuk diungkit peristiwa lampau yang melibatkan kelompok lebih besar, iaitu etnik tertentu dengan yang lain secara keseluruhannya.

Secara unggulnya, sepatutnya begitu. Namun secara realitinya ia akan berlaku secara sebaliknya, iaitu seluruh etnik itu akan ikut terbabit. Ini kerana individu tertentu itu mempunyai kabilahnya. Ini benar sekali dari segi etnisiti, agama, ideologi politik dan sebagainya.

Dengan ini, serangan, sama ada adil mahupun tidak kepada individu tertentu itu bukan sahaja menyelar maruah dan kehormatannya. Ia sebenarnya turut mencerca mereka yang seetnik dan seagama dengannya.

Dalam pada ini, etniknya serta umat agamanya akan ikut terpanggil untuk bangkit bertindak, kekadang dengan cara yang amat keras sekali. Ini kerana walaupun sebagai seorang individu sahaja, beliau tidak sesekali bersendirian. Beliau adalah anggota kepada kelompok tertentu yang ada kaitan rapat dengannya.

Oleh itu, serangan berlebih-lebihan dan yang tidak sepatutnya, meskipun kepada individu itu sahaja, pasti akan membangkit kemarahan daripada kabilahnya.

Justeru serangan itu hendaklah berpada-pada. Hanya tertumpu kepada kesilapan yang berlaku sahaja dan tidak sesekali yang lain-lain.

Ini kerana serangan yang tidak sepatutnya itu, lagi-lagi setelah adanya permohonan maaf secara terbuka pula, pasti akan mempunyai potensi konflik, termasuklah yang terbuka. Oleh itu, ungkapan 13 Mei adalah sebaik-baiknya peringatan, mungkin juga seingat-ingatnya amaran akan bahayanya perbuatan serangan terhadap sesuatu etnik dan agama itu. Ini bukan sahaja tidak baik tetapi juga ia katalis konflik.

Oleh itu, ungkapan 13 Mei adalah untuk bukan sahaja menyedarkan kita semua. Malah sekali gus memperingat dan memberi amaran tentang satu peristiwa yang harus kita elakkan dengan apa-apa jua cara, walau betapa sukar sekali pun. Ini agar ia tidak sesekali berlaku lagi di negara ini.

Inilah sesungguhnya niat murni apabila ungkapan 13 Mei digunakan oleh etnik Melayu. Dalam hal ini, etnik bukan Melayu, khususnya Cina, akan cuba mengelak penggunaannya, apatah lagi dengan sewenang-wenangnya. Ini kerana peristiwa 13 Mei terlalu menyakitkan untuk dikenang kesannya kepada etnik Cina.

Oleh itu, setiap kali ungkapan 13 Mei disebut, ia bukan sahaja sekadar kenangan mengusik jiwa tetapi trauma, malah yang besar. Dengan ini, keadaan mental yang diakibatkan peristiwa rusuhan kaum itu masih kuat menghantui etnik Cina.
Ia masih dirasai sehingga sekarang. Ia diceritakan kepada generasi muda dan mungkin selama-lamanya kepada keturunan Cina Malaysia.

13 Mei tidak dinafikan adalah kejadian amat buruk yang dialami etnik Cina. Ia membuat mereka bukan sahaja sangat sedih, juga gusar sekali walaupun apabila ungkapan itu disebut dalam konteks tanpa sebarang provokasi. Antaranya termasuklah yang tanpa apa-apa jua niat untuk menghasut.

Sehubungan ini, etnik Cina hendaklah mula bersifat matang untuk bijak mengenal pasti niat penggunaan ungkapan 13 Mei. Jangan lagi terus-terusan membantahnya sebagai perbuatan menghasut setiap kali ia digunakan.

Balik kepada perbuatan tidak baik, sama ada yang tertutup sifatnya, apatah lagi yang awam dalam bentuk ditularkan dalam media sosial, kita semua, lebih-lebih lagi yang sudah dewasa, sewajarnya mempunyai akal fikiran yang sihat. Ia tidak lain tidak bukan kemampuan berfikir secara praktikal akan kesan buruk daripada sesuatu yang akan dilakukan itu.

Nampaknya ada pertimbangan yang silap pada pihak yang memuat naik perkara yang begitu sensitif ke ranah awam dan pula pada persada rasmi organisasi tertentu. Tidak dapat dinafikan tindakan itu pasti akan menyinggung, mengancam serta dianggap sebagai serangan terhadap kelompok tertentu dari segi etnisiti dan agama.

Juga tidak dapat disangkal lagi akibat perbuatan silap itu, perbalahan berlaku, yang boleh pula kemudiannya menimbulkan keganasan. Oleh itulah, ungkapan 13 Mei digunakan semata-mata sebagai peringatan. Ia sebenarnya tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

Perbalahan pada mulanya yang kemudian boleh menjadi ganas adalah perkara benar yang sememangnya boleh berlaku pun. Ia tidak boleh sesekali diambil mudah seperti hanya perbuatan yang melibatkan individu tertentu sahaja. Ini kerana ia boleh ikut mengheret kabilahnya sekali untuk sama-sama terlibat.

SEBAGAI IKTIBAR

13 Mei bukan ungkapan terlarang, sama ada sebagai bahasa rasis, wacana berbaur sensitif atau segala macam nama lain yang boleh diberikan. Sebaliknya, ia ungkapan sahih merujuk kepada satu peristiwa hitam yang pernah berlaku di negara ini, khususnya di Semenanjung.

Justeru, penggunaannya tidak boleh sesekali selalu mahu dianggap sebagai sokongan kepada sebab dan kesan peristiwa 13 Mei, apatah lagi dukungan gagasan dan pegangan tertentu berkenaan rusuhan kaum itu. Juga ia tidak boleh sama sekali selalu ingin dikaitkan dengan perbuatan mengungkit-ungkit perkara lama yang telah pun berlalu.

Ini kerana ia peristiwa negara yang penuh dengan iktibar. Justeru, pemahaman tentangnya penting sekali untuk mengerti masa lampau, bagi memahami masa sekarang untuk menyediakan masa hadapan. Oleh itu, 13 Mei adalah ungkapan keramat bagi keinsafan kita semua di negara tercinta ini. Ia bagi memastikan keharmonian kaum wajib terus wujud dengan baiknya untuk perpaduan negara dan integrasi nasional yang erat lagi utuh.

Dengan ini, 13 Mei bukan sesekali ungkapan memecah-belahkan. Malah yang menyatupadukan. Sesungguhnya ia wajib diraikan dengan penuh keinsafan sebagai Hari Harmoni Malaysia untuk kita semua buang yang keruh, ambil yang jernih daripada Rusuhan Kaum 13 Mei 1969.

Melalui sambutannya saban tahun, fobia tentang ungkapan 13 Mei dan juga kejutan daripada peristiwa itu akan dapat diatasi. Mudah-mudahan itulah antara hikmah Hari Harmoni Malaysia pada setiap 13 Mei.-UTUSAN



PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Ulasan