Banjir kilat: Dua PPS dibuka di Shah Alam


Banjir kilat: Dua PPS dibuka di Shah Alam

11 April 2025 12:11pm
Masa membaca: 2 minit

Keadaan banjir kilat di sekitar Kampung Padang Jawa pada awal pagi Jumaat.


SHAH ALAM - Sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka berikutan banjir kilat yang melanda beberapa daerah di Selangor pada pagi Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, PPS itu ialah di Dewan Kenangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 28, di sini yang menempatkan mangsa dari Kampung Bukit Lanchong.

Menurutnya, PPS lain turut dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 16, di sini bagi menempatkan mangsa dari Kampung Padang Jawa.

“Mangsa yang terkesan akibat bencana banjir ini dikategorikan sebagai bencana tahap satu di kawasan yang dimaklumkan dan berhampiran.


Penduduk di sekitar Kampung Padang Jawa meredah banjir.

“PPS ini akan beroperasi sepanjang tempoh diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan, sebanyak lima daerah di Selangor dilanda banjir kilar susulan hujan tanpa henti yang berlaku sejak awal pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Ghazali Abd Rahman berkata, daerah terbabit ialah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

Sementara itu, menurut perkongsian pengguna di Facebook, siren amaran banjir turut dibunyikan di Taman Sri Muda, di sini kira-kira jam 10 pagi berikutan air sungai melepasi tahap amaran.

Berdasarkan perkongsian itu, penduduk juga diminta supaya bersiap sedia untuk berpindah.

Ulasan