
Bariatrik bukan jalan pintas untuk cantik
07 April 2025 08:10am
Masa membaca: 3 minit
SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya 15,000 pembedahan bariatrik telah dilakukan bagi menangani masalah obesiti dan kesihatan, dengan anggaran 1,500 ke 2,500 pembedahan setiap tahun di Malaysia.
Pakar Perunding Bedah dan Ketua Unit Surgeri UGI, Metabolik dan Bariatrik Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood berkata, peningkatan itu didorong oleh kesedaran masyarakat terhadap kesihatan.

Nik Ritza Kosai
Menurutnya, kadar kenaikan pembedahan bariatrik dalam tempoh 10 tahun ini meningkat antara 10 hingga 15 peratus setahun dan jumlahnya bertambah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, wujud kebimbangan apabila ada segelintir artis dan pempengaruh yang menjadikannya jalan pintas untuk cantik dengan cepat tanpa memikirkan risiko yang mereka bakal hadapi.
“Di Malaysia, kita ada kira-kira 40 pakar bedah bariatrik yang melakukan prosedur itu. Bagaimanapun, harus diingat bahawa tidak semua orang layak untuk membuat pembedahan bariatrik kerana ada garis panduan yang harus diikuti.
“Syarat paling asas ialah rawatan ini disyorkan untuk mereka berumur 18 ke 65 tahun. Daripada segi BMI (jisim indeks tubuh) pula, seseorang itu mesti 32.5 ke atas dengan mempunyai masalah obesiti dan kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol, hati berlemak, berdengkur dan sakit sendi.
“Bagi individu yang mempunyai BMI 37.5 dan ke atas dengan obesiti tanpa ada apa-apa masalah kesihatan juga layak.
"Dalam kes tertentu, pesakit yang mempunyai BMI 27.5 ke atas juga layak untuk membuat pembedahan bariatrik jika mempunyai masalah diabetes tanpa kawalan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menegaskan, individu yang mempunyai BMI kurang daripada 30 dan tiada apa-apa masalah kesihatan tidak digalakkan untuk membuat pembedahan bariatrik.
Katanya, bariatrik sendiri merujuk kepada rawatan untuk obesiti dan individu kurus atau mempunyai berat ideal tidak berhak untuk membuat rawatan berkenaan.
“Kita akui ada orang yang obses nak kurus sehingga sanggup lakukan pelbagai cara. Ada juga yang ambil jalan pintas dengan mendapatkan ubat-ubatan untuk pesakit diabetes.
"Ubat ini kesan sampingannya boleh menyebabkan mereka kurang berat badan tapi ia tidak sesuai digunakan tanpa preskripsi doktor.
“Bagi saya mereka yang nak cantik dengan mudah ini ‘tidak betul’ kerana tidak memikirkan kesan sampingan daripada tindakan yang dilakukan,” ujar beliau.
Selain itu katanya, terdapat beberapa kategori yang tidak layak untuk menjalani pembedahan bariatrik seperti individu yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru yang teruk, strok, mempunyai masalah psikologi dan psikiatri serta individu yang bergantung kepada ubat mencairkan darah.

Nik Ritza Kosai (kanan) sewaktu melakukan prosedur pembedahan bariatrik. Foto: Nik Ritza Kosai
Tambah Nik Ritza Kosai, kebanyakan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan pembedahan bariatrik adalah individu yang sudah mempunyai banyak masalah kesihatan.
Fakta yang menarik ialah kebanyakan pesakit yang datang ingin mendapatkan rawatan adalah wanita, antara 60 ke 70 peratus.
“Pesakit lelaki kebiasaannya datang lambat atau apabila keadaan dah teruk sangat. Apabila masalah obesiti ini mula mengganggu kehidupan mereka barulah datang berjumpa dengan kita untuk mendapatkan bantuan.
“Bagaimanapun dengan kemajuan perubatan, pesakit ini boleh mendapatkan bantuan rawatan bariatrik melalui empat kaedah iaitu ubat-ubatan, rawatan belon, endoskopik atau Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG) dan pembedahan.
“Bagi individu yang mempunyai badan terlalu besar dan ada diabetes tanpa kawalan, pembedahan bariatrik adalah yang paling sesuai.
"Dalam apa jua keadaan, mereka perlu mendapatkan nasihat daripada pegawai perubatan terlebih dahulu sebelum mendapatkan apa-apa rawatan,” jelasnya.
Ulasan
Catat Ulasan