Biasakan diri dengan manual menyelamat kecemasan
April 7, 2025
Dr Shawn Loh Sheng Nian (kiri) bersama Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu segera membiasakan diri dengan manual menyelamat kecemasan negara supaya dapat bertindak balas dan menyesuaikan diri secepat mungkin apabila kecemasan berlaku.
Pengarah Khidmat Malaysia Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Shawn Loh Sheng Nian berkata, bencana seperti gempa bumi dan letupan paip gas di Putra Heights, baru-baru ini menarik perhatian orang ramai.
Katanya, sesetengah negara seperti Singapura, latihan kecemasan ketika bencana dijalankan membabitkan pelbagai pihak seperti sekolah, agensi kerajaan dan juga swasta supaya semua peringkat rakyati biasa dengan prosedur manual menyelamat kecemasan.
“Ini membolehkan orang ramai melindungi keluarga dan meminimumkan kerosakan harta benda mereka pada tahap yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Shawn berkata, negara yang sering dilanda bencana seperti Jepun juga kini mengkaji semula latihan kecemasan bagi menghadapi letusan Gunung Fuji.
“Saya berharap agensi kerajaan yang berkaitan bencana sentiasa bersiap sedia. Jangan hingga rakyat berpandangan bahawa pemimpin tidak matang dalam menangani isu kecemasan,” katanya.
Sementara itu, katanya penduduk yang terjejas dalam kejadian letupan paip gas di Putra Heights mahukan kehidupan mereka pulih seperti biasa.
“Mereka keletihan secara fizikal dan mental dengan kejadian itu dan kerajaan perlu mempercepatkan proses bantuan untuk meringankan bebanan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan