Demonstrasi kereta dedah wujudnya percanggahan



Demonstrasi kereta dedah wujudnya percanggahan

Keterangan saksi utama kes Yusoff Rawther meragukan
April 9, 2025


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan beberapa perkembangan dalam perbicaraan melibatkan tertuduh Yusoff Rawther hari ini sebagai penting dan memberikan kesan besar terhadap kes berkenaan.

Beliau yang juga peguam berkata, antara perkara utama ialah keputusan mahkamah membenarkan permohonan peguam tertuduh, Muhammad Rafique Rashid Ali untuk melakukan demonstrasi melibatkan kenderaan jenis Nissan Teana yang menjadi sebahagian daripada bahan bukti.

“Itu satu keputusan yang kita rasa amat-amat baik sekalilah. Demi untuk keadilan,” katanya kepada media selepas prosiding di mahkamah hari ini.

Takiyuddin turut memaklumkan bahawa terdapat bantahan awal daripada pihak pendakwaan apabila permohonan dibuat supaya demonstrasi itu dijalankan dengan kehadiran media.

“Pihak pendakwaan telah membantah kononnya dia kata tak pernah memohon kepada mereka untuk media hadir, menyebabkan kalau media hadir ni di luar kawalan.

“Kalau memohon daripada awal, dia boleh angkut daripada balai polis mana-mana untuk kawal, kononnya takut media ni merusuh dan sebagainyalah.

“Tapi akhirnya apabila dijelaskan balik oleh pihak kami bahawa ini adalah satu perkara kemungkinan yang tak mungkin berlaku, dengan adanya media ini akan berlaku sesuatu yang tidak diingini, akhirnya yang arif hakim membenarkan kehadiran,” katanya.

Menurutnya, dengan kebenaran itu, media dapat hadir sepanjang demonstrasi terhadap kereta berkenaan yang dilakukan oleh saksi utama, iaitu Saksi Pendakwaraya 1 (SP1).

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, keterangan dalam mahkamah oleh saksi utama yang juga ketua kepada pasukan serbuan, menimbulkan keraguan serius terhadap kes pendakwaan.

“Apabila ditanya tadi kemungkinan-kemungkinan ‘possibilities’ ada orang lain yang membuka pintu, pintu dibuka secara paksa, kemudian Yusoff Rawther tidak merupakan orang yang membuka pintu dan sebagainya, saksi ini bersetuju dengan kemungkinan-kemungkinan ini,” katanya.

Justeru katanya, perkara itu adalah satu keterangan yang amat meragukan dan memberikan ‘benefit of the doubt’ kepada pihak tertuduh.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan kenyataan saksi yang mendakwa tidak pernah berenggang dengan tertuduh sepanjang pemeriksaan terhadap kenderaan dilakukan.

“Maknanya sepanjang berlaku ‘search’ ataupun pemeriksaan terhadap kereta itu, dia sentiasa berada di sini, berada di sebelah Yusoff Rawther dan tak pernah berpisah.

“Termasuk walaupun akhirnya dia kata dia berpisah pula lepas itu bila Yusoff itu pergi ke pintu di sebelah penumpang. Jadi itu satu percanggahan yang cukup besarlah kepada kita,” katanya.

Tambah Takiyuddin, keterangan saksi bahawa pintu sebelah penumpang dibuka oleh Yusoff Rawther menggunakan kunci manual juga bercanggah dengan keadaan sebenar.

“Sebelum daripada ni kami juga agak-agak boleh jadilah kut. Tapi apabila pergi tengok di kereta di sebelah penumpang, sebelah kiri kereta itu, sebelah hadapan, lubang nak masuk kunci pun tak ada.

“Apatah lagi nak buka dengan kunci manual. Lubang nak masuk kunci pun (tak ada). Terkejut tadi. Tak ada lubang,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2025

Ulasan