Insiden Putra Heights wajar sedarkan semua pihak
April 5, 2025
KUALA LUMPUR: Insiden kebakaran besar di Putra Heights bukan sahaja mengejutkan negara, malah wajar menjadi isyarat dan peringatan kepada semua pihak.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, walaupun api yang tinggi menjulang dalam kejadian itu dipadamkan, mesej yang dibawa melalui kejadian itu amat jelas dan perlu diambil iktibar.
“Insiden yang menggemparkan negara, bukan sekadar mengejutkan, tetapi wajar menyedarkan. Simpati dizahirkan kepada penduduk yang terjejas, atas segala kehilangan dan kerosakan.
“Terpenting adalah memberikan rawatan, bantuan, dan sokongan sepanjang tempoh pemulihan. Pakaian, makanan, kenderaan, dan tempat berteduh, menjadi kewajipan untuk disediakan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, lokasi kejadian amat tidak wajar kerana berlaku di kawasan kediaman, dalam perbandaran termaju serta negeri terkaya, sekali gus mengejutkan seluruh Selangor.
“Namun ada ‘isyarat’ yang dihantar daripada api yang tinggi menjulang di ‘ground zero’ kejadian tersebut,” katanya.
Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan menimbulkan persoalan terhadap beberapa pihak.
“Siapa luluskan permit kerja, siapa kontraktor buat kerja, siapa pantau kontraktor atau pemaju buat kerja – persoalan kepada Selangor.
“Skala berlakunya amat dahsyat, menjadi penanda aras baharu kepada protokol keselamatan dan prosedur kelulusan di Pihak Berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri, PETRONAS, dan agensi Persekutuan,” katanya.
Menurut Mohd Syahir, insiden Putra Heights menghantar tiga isyarat jelas kepada semua pihak.
“Isyarat pertama ialah protokol keselamatan tidak boleh diingkari. Kedua, rizab kawasan warta tidak boleh dicerobohi. Isyarat ketiga adalah integriti aset tidak boleh dikompromi,” katanya.
Beliau menjelaskan, aset yang dimaksudkan ialah Peninsular Gas Utilization (PGU), iaitu jajaran paip gas terpanjang di Semenanjung sepanjang 2,623 kilometer, yang disifatkan sebagai pembuluh darah kepada sektor tenaga dan industri negara.
“Lingkarannya bermula di Kertih (Terengganu), berpusat di Segamat (Johor), menyalurkan gas dari timur ke selatan dan utara Semenanjung; Kelantan terkecuali.
“Ya, Kelantan terkecuali, haknya dinafi sejak sekian lama. Justeru api yang menjulang tinggi di Putra Heights, bukan sekadar mengejutkan, tetapi wajar menjentik kesedaran,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa ada pihak yang akan terjejas akibat kecuaian, pecah amanah dan ketidakadilan.
“Pengajaran terpenting, segala bentuk kecuaian, amalan rasuah dan pecah amanah – swasta mahupun kerajaan, hendaklah dinoktahkan.
“Adapun segala bentuk ketidakadilan politik dan ekonomi, hendaklah punyai azam untuk diperbetulkan di masa mendatang.
“Ternyata, insiden Putra Heights memberikan 1001 pengajaran kepada kita semua; tiada yang terkecuali,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan