
Jualan Iman Cafe melonjak 50 peratus selepas peroleh halal
MOHD. Iman Mohd. Zin menunjukkan antara menu yang dijual di Iman Cafe.
Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
14 April 2025, 7:56 am
PETALING JAYA: Syarikat makanan, MIZ Legacy Trading menerima manfaat dan peningkatan jualan 50 peratus selepas memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Mei 2024.
Pengurus Iman Cafe, Mohd. Iman Mohd. Zin, 36 berkata, sambutan yang diterima daripada pelanggan agak baik dan mula dikenali penduduk setempat di sekitar Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.
“Pengesahan halal membantu memastikan bahawa semua bahan yang digunakan tidak mengandungi unsur haram seperti babi atau alkohol dan proses penyediaan juga mematuhi garis panduan yang ketat.
“Selain itu, halal juga perlu untuk kepentingan dari sudut agama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Antara produk makanan yang dijual seperti waffle, croffle, ice blended, burger, kaya ball, aiskrim, ABC, cendol, ayam goreng, kentang dan piza.
Jelas Mohd. Iman, waffle yang dihasilkan sendiri terjual lebih 20 keping setiap hari bergantung kepada tempahan dalam talian dengan harga bermula dari RM4 hingga RM6.
“Kedai dibawah jenama Iman cafe dan imaneskem sudah beroperasi sejak 2022.
“Kini, kami mempunyai dapur dan bilik khas dan memfokuskan untuk tempahan dalam talian seperti Foodpanda, Grab Food, misi rakyat dan juga Shopee Food,” katanya.
Kini, dia menerima tempahan dalam talian sebanyak 80 peratus, manakala pelanggan secara walk-in (datang sendiri) hanya 20 peratus.
Mohd. Iman turut menggalakkan supaya semua peniaga memohon sijil halal kerana prosesnya agak mudah.
”Pensijilan halal membolehkan produk anda dapat berkembang dalam pasaran luas bahkan, pelanggan boleh menikmati produk anda tanpa was-was dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap kebersihan produk anda,” katanya.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan