Kelantan usaha tubuh Majlis Pembangunan Halal


Kelantan usaha tubuh Majlis Pembangunan Halal
April 21, 2025

KOTA BHARU: Kerajaan negeri dijangka menubuhkan Majlis Pembangunan Halal bagi melaksana penyelarasan terhadap agenda tersebut di Kelantan bermula tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, mesyuarat pertama bersama jawatankuasa bakal diadakan April ini.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Exco telah setuju mewujudkan Majlis Pembangunan Halal Kelantan jadi dibawah portfolio saya akan berusaha wujudkannya sebelum berlabuh Disember 2025.

“Kita sudah ada jawatankuasa induk yang baru sahaja dibina insyaAllah mesyuarat kali pertama dijangka diadakan pada April tahun untuk pastikan agenda halal kita dijamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Pusat Halal Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Dewan Johor, di sini semalam.

Hadir sama Rektor KIAS, Prof Dr Mazlan Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKINK), Dato’ Zamri Ismail dan Ketua Penolong Pengarah JAHEIK, Anuar al Sadat Noor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu berkata, sebanyak 419 premis makanan dan minuman di Kelantan dan 50 bukan Islam di Kelantan menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Beliau berkata, ia merupakan hasil kerjasama agensi kerajaan termasuk PKINK dan Bahagian Pengurusan Halal JAHEIK bagi memberi pendedahan kepada peniaga dan usahawan mengenai kelulusan itu.

“PKINK dan JAHEIK menjadi teras kepada kerajaan negeri memberi sokongan kepada Pusat Halal KIAS, yang sememangnya melaksanakan agenda proses menyebar luaskan pengethaun berkaitan halal ini.

“Kita (kerajaan negeri) sarankan supaya peniaga dan usahawan kita mengambil SPHM ini dan dia mengenakan kadar ‘fee’ yang sangat rendah dan tidak membebankan usahawan kecil,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Ulasan