

Berita
Khalid Samad cabar dua menteri beri penjelasan isu Kg Sungai Baru
Diterbitkan: Apr 21, 2025 3:01 PM
Dikemaskini: 4:15 PM
Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menyambut baik pengumuman Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani yang dijadualkan mengadakan sidang media khas minggu ini bagi menjelaskan perkembangan isu kontroversi pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Menurut Khalid, langkah Johari itu amat dialu-alukan dan sepatutnya wakil rakyat berkenaan sudah terlibat sejak awal kerana Kampung Sungai Baru terletak di kawasan Parlimen Titiwangsa.

“Saya alu-alukan. Memang sepatutnya dia dari awal dia terlibat kerana ini kawasan dia dan kita nak dapatkan penjelasan daripada dia macam mana benda ini telah berlaku dan apa yang dia telah buat untuk membela mereka-mereka yang teraniaya," katanya.
Khalid yang juga pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan turut menyuarakan kebimbangan mengenai nasib penduduk yang menerima pampasan rendah berbanding nilai sebenar pasaran tanah di kawasan itu.
“Yang teraniaya sekarang ini adalah mereka yang mendapat pampasan yang rendah, yang mana yang dah setuju itu hak dia. Tak mengapa.

“Tapi yang mana yang tak setuju dan yang jadi mangsa, saya nak tahu apa yang Johari telah lakukan untuk membela nasib penduduk dan saya menunggu-nunggu penjelasan yang akan dibuat kerana dia ahli parlimen Titiwangsa,” tambah beliau.
Dalam masa sama, Khalid turut mencabar Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) untuk tampil menjelaskan asas penilaian pampasan yang didakwa jauh lebih rendah berbanding harga semasa.
Khalid membandingkan nilai pampasan RM450 sekaki persegi yang diberikan kepada penduduk Kampung Sungai Baru dengan penilaian RM1,000 sekaki persegi di kawasan tanah bersebelahan milik MAS semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

“Saya minta maaf, saya nak cabar menteri Wilayah Persekutuan dan khususnya JPPH untuk menjelaskan.
“Kenapa penilaian Kampung Sungai Baru yang mana penilaian yang mereka buat telah mempengaruhi keputusan mahkamah?
“Kenapa penilaian yang mereka buat itu begitu rendah berbanding penilaian dibuat mereka juga terhadap tanah MAS semasa saya menteri Wilayah Persekutuan?
“Ini merupakan satu kecelaruan dan keadaan yang tidak munasabah yang sehingga hari ini tak dijelaskan,” katanya.

Untuk rekod, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru — yang merangkumi rumah teres dan flat — mencetuskan perdebatan apabila segelintir penduduk membantah pampasan yang dianggap tidak setimpal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menjelaskan di Parlimen pada Disember lepas bahawa pembangunan tersebut hasil rundingan bersama antara pemilik dan pemaju tanpa paksaan atau tekanan.
Bayaran pampasan bagi pengambilan tanah juga sudah disalurkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat antara Februari 2022 hingga Januari 2023.
Ulasan
Catat Ulasan