MB santuni mangsa kebakaran di Kg Alur Pok Bang




MB santuni mangsa kebakaran di Kg Alur Pok Bang
April 9, 2025


MARANG: Dalam suasana Syawal disambut penuh keceriaan dan kunjungan ziarah, satu tragedi menyelubungi penduduk Kampung Alur Pok Bang, di sini, apabila sebuah rumah di Taman Emas Murni musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

Insiden menyayat hati itu meragut nyawa seorang wanita warga emas, Allahyarhamah Razaidah Mohamad, 78, yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Beliau tidak sempat menyelamatkan diri ketika api marak sekitar jam 4:20 pagi dan mayatnya ditemukan pasukan bomba setelah api berjaya dikawal.

Tiga ahli keluarganya yang lain, anak arwah, Halimahtun Mat Zin, 49, dan dua cucunya, Nur Aisyah Najwa, 23, serta Muhammad Nur Hakim, 18, sempat melarikan diri dan terselamat.

Prihatin dengan nasib menimpa keluarga mangsa, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar segera turun padang pada petang yang sama bersama beberapa agensi kerajaan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Beliau melawat lokasi kejadian dan bertemu sendiri dengan keluarga mangsa bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan jaminan bahawa bantuan segera sedang diatur untuk membantu meringankan beban mereka.

“Kami turun padang bersama beberapa agensi kerajaan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan bantuan segera sedang diusahakan bagi meringankan beban keluarga mangsa,” ujarnya.

Terdahulu, dilaporkan operasi memadamkan kebakaran diketuai oleh 17 anggota bomba dari BBP Marang dan Kuala Terengganu.

“Operasi pantas oleh anggota dari BBP Marang dan Kuala Terengganu berjaya menyelamatkan keadaan dalam tempoh singkat. Namun, kesan kebakaran telah memusnahkan sebahagian besar struktur rumah,” katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk turut menyeru masyarakat agar sama-sama menunjukkan keprihatinan dan membantu keluarga mangsa dengan apa jua cara yang mampu.

“Dalam bulan Syawal yang mulia ini, marilah kita bersama menzahirkan simpati dan solidariti. Hanya doa dan sokongan kita mampu mengubat kesedihan yang menimpa keluarga ini.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarhamah Razaidah Mohamad. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2025


Ulasan