Pengundi perlu tamatkan kuasa BN di Ayer Kuning


Pengundi perlu tamatkan kuasa BN di Ayer Kuning
April 24, 2025


TAPAH: Parlimen Tapah yang di dalamnya terdapat kawasan Dewan Negeri Ayer Kuning, telah lebih 50 tahun diterajui Barisan Nasional, namun dapat dilihat terkebelakang berbanding dengan daerah atau parlimen atau DUN lain.

Presiden MIPP, Punithan Paramsiven sehubungan itu menyeru pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning agar mengundi PERIKATAN NASIONAL (PN) sekiranya mahu perubahan berlaku.

Katanya, dengan mengundi calon PN, Ustaz Abdul Muhaimin Malek dan memenangkannya, penduduk Ayer Kuning juga dapat menghantar mesej kepada Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Pusat diterajui Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

Menurut beliau, masyarakat India di negara ini merasa marah kepada Kerajaan PH-BN atas banyak penipuan ke atas mereka termasuk janji Perdana Menteri mahu menyelesaikan masalah kaum tersebut dalam masa satu tahun.

“(Sekarang) Sudah hampir tiga tahun. Apa pemimpin macam ni tak ikhlas? Ramai bibir manis. Mahu cakap saja. Jangan bohong tengok rakyat. Hari ini kamu boleh bohong. Takkan setiap hari kamu nak bohong?” ujarnya.

Beliau berucap di pentas ceramah Grand Finale PN PRK DUN N.48 Ayer Kuning yang dilangsungkan di Taman Golf, Bidor sebentar tadi.

Tambah beliau, pemimpin politik PH-BN bukannya berjuang demi rakyat melainkan untuk kuasa, jawatan, habuan dan bergaya serta bermewah, tetapi rakyat pula hidup susah sedangkan banyak masalah rakyat tidak diselesaikan.

Sehubungan itu katanya lagi, rakyat tidak boleh membiarkan pemimpin sedemikian terus menguasai rakyat dan membiarkan janji hanya tinggal janji serta ketika sama rakyat mengharungi isu-isu perpaduan.

“Tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk memelihara perpaduan dan keutuhan yang sedia terjalin. Acuan negara kita Malaysia ini adalah berbilang kaum dan bangsa. Hari ini sedih kita lihat kerajaan tak mampu nak mengurus perpaduan.

“Setiap hari ada isu. Bukankah ini akan mengganggu kestabilan negara?” persoalnya mengajak rakyat terutama pengundi PRK DUN Ayer Kuning membuat pilihan tepat dengan mengundi PN. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

Ulasan