
Perlukan pemimpin berintegriti urus perbezaan kaum
April 9, 2025
TAPAH: Malaysia memerlukan pemimpin yang dapat menguruskan perbezaan kaum dan fahaman yang wujud di negara ini dengan baik, kata Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut beliau yang juga Menteri Besar Kedah, pemimpin tersebut juga perlu mempunyai integriti seperti jujur, ikhlas dan tidak bercakap bohong.
“Apa yang ada di mulut, di hati (mesti) sama. Jangan kerana nak pancing undi, yang tak boleh kata boleh, esok jadi tak boleh. (Sebab) dah dapat dah undi.
“Orang-orang seperti ini tak boleh memimpin negara ini. Negara ini tak sama dengan negara lain. Kita dalam kepelbagaian kaum, agama. Nama pun tak sama.
“Nak undi Melayu, pergi pujuk Melayu. Nak undi Cina, pergi cakap dengan Cina. Kena jelas, boleh kata boleh. Tak boleh, kata tak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road, di sini lewat malam tadi.
Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.
Selain Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar dan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Justeru, beliau menyeru supaya pengundi di DUN Ayer Kuning untuk tidak melakukan kesilapan sekali lagi dengan mengundi Barisan Nasional (BN) pada pengundian 26 April depan.
“Peluang ini tak hadir banyak kali. Nak beri referendum, nak beri isyarat kami tak mahu Menteri seperti ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan