PRK Ayer Kuning: Pertandingan PN, BN dan PSM
April 12, 2025
Share
(Foto: BERNAMA)
TAPAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mengesahkan pertandingan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK N.48 DUN Ayer Kuning, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori mengumumkan penerimaan dan pengesahan pencalonan ketiga-tiga calon di Dewan Merdeka Tapah di sini sebentar tadi.
Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima kertas pencalonan daripada ketiga-tiga calon bersama pencadang dan penyokong masihg-masing sebelum tempoh tutup jam 10 pagi.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaannya,” kata beliau yang membuat pengumuman tersebut kepada awam.
Calon PN, Ustaz Abd Muhaimin Malek membawa cabaran untuk berdepan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir dan calon PSM, Bawani KS bagi merampas kerusi yang sebelum ini disandang BN sejak beberapa penggal Pilihan Raya Umum (PRU).
Ketiga-tiga mereka adalah aktivis parti iaitu Ustaz Muhaimin merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah, manakala Dr Yusri adalah Setiausaha Umno Bahagian Tapah, sementara Bawani ialah Timbalan Setiausaha Agung PSM.
Ustaz Muhaimin dan Dr Yusri kedua-duanya berlatar belakang profesion pendidikan iaitu merupakan seorang guru dan pensyarah bidang agama, manakala Bawani ialah seorang pengamal undang-undang.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti dengan memperoleh 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), PEJUANG (105) dan PSM (586).
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning adalah pada 26 April ini dengan pengundian awal pada 22 April.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini akan digunakan untuk PRK ini akan membabitkan seramai 31,897 pemilih terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.
PRK DUN Ayer Kuning adalah PRK ke-13 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Padang Serai (Kedah), PRK DUN Tioman (Pahang), PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor).
Diikuti PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK Sungai Bakap (Pulau Pinang), PRK DUN Nenggiri (Kelantan) dan DUN Mahkota (Johor). – HARAKAHDAILY 12/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan