

Berita
Umno anggap Adun PAS 'bacul' tuduh PDRM dalam DUN
Diterbitkan: Apr 23, 2025 12:22 PM
Dikemaskini: 12:25 PM
Umno Kelantan hari ini mengecam kenyataan seorang Adun PAS negeri itu kerana didakwa cuba memberi gambaran buruk terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyerang dua pegawai kanan pasukan keselamatan terbabit.
Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob, berkata Adun terbabit memberi gambaran seolah-olah Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay; dan Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat; ada niat tidak baik kepada kerajaan negeri.
Kata Ahmad Jazlan, Adun terbabit ialah Wan Rohaimi Wan Daud yang merupakan wakil rakyat bagi kawasan Melor.
"Wan Rohaimi secara melulu dan tidak cermat menuduh Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara sengaja mengeluarkan kenyataan negatif tentang negeri Kelantan untuk (mempengaruhi) pilihan raya kecil di Ayer Kuning, Tapah yang bakal berlangsung pada 26 April ini.
"Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara serta keseluruhan pasukan PDRM merupakan penjawat awam yang tertakluk kepada peraturan dan bertugas untuk menjaga keselamatan negara.
"Justeru tidak wajar mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan oleh polis tentang bidang tugas mereka dalam usaha memberi kesedaran dan membenteras jenayah dalam kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Wan Rohaimi pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam mendakwa, Mohd Yusoff membuat kenyataan bahawa ada ramai individu termasuk pempengaruh dan usahawan kosmetik menjadi ketua sindiket menjual dadah di negeri itu.
Wan Rohimi yang juga seorang peguam mendakwa polis mengeluarkan kenyataan tersebut pada 22 Mac lalu tanpa disokong oleh data yang sewajarnya.

"Saya tertanya-tanya ketua polis ni (Mohd Yusoff) nak menjual cerita sensasi ataupun nak menjadi penguat kuasa atau penjawat awam yang mempunyai disiplin tentang data?
"Empat hari lepas, Timbalan Ketua Polis Negara mengulang data yang sama.
“Kita fikir bakpo (kenapa) yang bersungguh sangat dan mengambil satu cebisan yang kecil untuk memberikan gambaran yang salah (berkenaan isu sosial dan jenayan Kelantan).
“Sebab itu saya kata, kalau nak sebut, sebut semualah. Apabila kita (PAS) tengok (teliti) baru kita perasan… oh barangkali hari Sabtu ni adalah pilihan raya kecil bagi DUN Ayer Kuning," katanya ketika berucap di sidang DUN Kelantan di Kota Bharu.
Berlindung di sebalik imuniti
Untuk rekod pada 21 Mac lalu, Polis Kelantan mendedahkan bahawa ramai pengasas produk kosmetik dan pempengaruh di Kelantan terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.
Kata Mohd Yusoff, dapatan itu dibuat hasil daripada beberapa tangkapan yang dilakukan PDRM sebelum ini.
Tambahnya, kebanyakan mereka menggunakan modus operandi yag sama iaitu menjadikan perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah masing-masing.
Pada 9 April lalu pula dalam sidang media khasnya Mohd Yusoff memaklumkan, jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan menunjukkan trend peningkatan ketara setiap tahun, dengan kebanyakan kes melibatkan hubungan suka sama suka.
Menurut Mohd Yusoff, pada 2024 sebanyak 252 kes direkodkan berbanding 206 kes pada 2023.
Apa yang membimbangkan polis, katanya, ialah ada dalam kalangan pelaku terlibat terdiri daripada remaja berumur seawal 10 tahun.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan bahkan menyifatkan Wan Rohaimi sebagai bacul kerana hanya berani mengeluarkan kenyataan sebegitu di dalam DUN sekali gus mengelakkan dia daripada disaman.
Justeru, dia mencabar Adun PAS terbabit mengulangi kenyataan sama di luar DUN.
"Pada saya, ia satu tuduhan bersifat bacul dan amat berat kepada PDRM apabila mengaitkan kenyataan berkenaan sebagai bermotifkan politik sambil berlindung di sebalik imuniti DUN,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan