Umno kembalilah pegang prinsip perjuangan asal

Umno kembalilah pegang prinsip perjuangan asal
April 22, 2025


JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor mempersoalkan hala tuju perjuangan Umno kini susulan laungan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang mengungkap ‘UmDAP Mantap’ dipercayai di DUN Ayer Kuning, Tapah, Perak.

Ketua Penerangannya, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, ungkapan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa Umno kini berada di bawah bayangan DAP sehingga mencetuskan persepsi bahawa parti tersebut telah berubah identiti.

“Apakah pimpinan Umno redha dengan ungkapan tersebut? Apakah ia akan mencalar maruah dan kredibiliti Umno? Bagaimana pula dengan pimpinan Umno pertengahan dan ahli Umno yang lain?

“Tidak peliklah tindakan Umno dilihat berubah masa kini?” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau percaya Umno masih mempunyai kekuatan jika kembali berpegang kepada prinsip asas perjuangannya iaitu memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

“Masyarakat melihat Umno masih lagi punya kekuatan jika berpegang kepada prinsip memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam, namun jika sebaliknya Umno akan bakal lenyap ditelan zaman.

Sehubungan itu, Abu Irfan menyeru akar umbi Umno agar memastikan kepimpinan parti tidak membawa perjuangan Umno menyimpang daripada matlamat asal, apatah lagi berubah menjadi ‘UmDAP’.

“Justeru bagi memberikan isyarat dan teguran kepada pemimpin Umno, umat Melayu Islam boleh bersama perjuangan PAS yang mendokong Perikatan Nasional bersama parti berbilang kaum yang lain.

Beliau turut mengajak pengundi Melayu-Islam agar memberikan isyarat jelas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan menyokong calon PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Ayuh PRK Ayer Kuning semua pengundi Umno undilah calon PERIKATAN NASIONAL. Gunakan kebijaksanaan anda,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

Ulasan