

Berita
Zaid soal 'adakah menteri akan kena tangkap?’, Tajuddin harap tidak
Diterbitkan: Apr 24, 2025 4:26 PM
Dikemaskini: 4:26 PM
Zaid Ibrahim mempersoalkan jika Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan berdepan tindakan polis berhubung kesilapan Jalur Gemilang yang terbaharu manakala ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi berharap, dia tidak akan menghadapi nasib sama yang menimpa pengarang Sin Chew Daily.
"Kepala siapa yang akan jadi sasaran kali ini? Saya pasti ada kumpulan tertentu akan dakwa bahawa permohonan maaf tidak mencukupi," kata bekas menteri undang-undang itu.

"Jadi, adakah menteri itu akan ditangkap? Adakah pegawai tertinggi kementerian akan digantung kerja?" kata Zaid kepada Malaysiakini.
Dia membuat perbandingan dengan insiden yang melibatkan Sin Chew, ketika menyiarkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit. Kesilapan itu mencetuskan beberapa laporan polis dibuat di seluruh negara sehingga menyebabkan dua kakitangan editorial kanan ditahan untuk disoal siasat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga menekankan betapa seriusnya kesilapan itu tetapi mengingatkan semua pihak agar tidak bertindak balas berlebihan.

Zaid turut membuat kenyataan sinis sebagai respons terhadap arahan Kementerian Pendidikan supaya pelajar memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam, dengan mendakwa ini akan memperkukuhkan kebanggan negara dan memupuk semangat patriotisme.
Dia seterusnya mencadangkan agar lencana itu juga perlu dipakai oleh Fadhlina dan kakitangan kementeriannya.
"Ini mungkin membantu mereka mengingati rupa sebenarnya Jalur Gemilang, dan mengelakkan kesilapan masa depan," katanya sinis.

Sementara itu, Tajuddin, Rasdi yang sebelum ini mengkritik tindakan yang diambil terhadap akbar Sin Chew Daily, berkata dia berharap menteri itu tidak akan ditimpa nasib yang sama.
"Saya harap menteri itu sendiri tidak akan ditangkap seperti editor Sin Chew. Atau adakah ini akan menjadi isu 'Melayu lawan Cina' - dengan kementerian mewakili satu kumpulan dan Sin Chew yang lain?
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita harus menjadi lebih matang dan belajar menerima kepincangan manusia.
“Melainkan, sudah tentu, kita seperti ahli politik veteran tertentu yang sudah berada di puncak pengetahuan dan mereka ini tidak lagi boleh belajar," katanya kepada Malaysiakini.

Walaupun Tajuddin tidak menyebut sebarang nama, kenyataannya dipercayai ditujukan kepada beberapa veteran Umno dan Perkasa, yang sebelum ini menuntut profesor seni bina itu melepaskan kerakyatannya.
Ia susulan tindak balas kepada artikel Tajuddin di Malaysiakini, yang meluahkan perasaan malu menjadi rakyat Malaysia berikutan penahanan editor Sin Chew.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa Kementerian Pendidikan telah memohon maaf berhubung silap kesilapan bendera negara semasa pembentangan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.

Gambar yang dipapakan menunjukkan pelajar di dalam bilik darjah, dengan Jalur Gemilang yang mempunyai dua bintang dan bukannya satu yang tergantung di dinding.
Bendera itu juga mempunyai lapan jalur merah dan putih dan bukannya 14.
Ulasan
Catat Ulasan