
80,000 ah long bermaharajalela
LEBIH 22,000 mangsa ah long direkodkan di seluruh negara dengan jumlah pinjaman keseluruhan mencecah RM40 juta sejak tahun 2023.-GAMBAR HIASAN
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
4 Mei 2025, 7:20 am
PUTRAJAYA: Terdapat 80,000 ah long kini bermaharajalela di negara ini termasuk mereka yang menjadi ejen dan pengutip wang sehingga mampu mewujudkan rangkaian mereka sendiri.
Malah, mereka seolah-olah dilihat kebal undang-undang apabila semakin berani melakukan perbuatan jenayah terhadap mangsa pinjaman dan menganiaya mangsa dengan syarat-syarat pinjaman yang diubah sesuka hati.
Ketua Perunding Unit Banteras Ah Long, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain, Adam Mustapa berkata, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (APPW 1951) adalah undang-undang yang mengawal selia aktiviti pemberi pinjaman wang berlesen di Malaysia.
“Namun, Ah Long tidak berdaftar (Akta Pemberi Pinjaman Wang) dan tidak mempunyai lesen yang sah, jadi mereka melanggar undang-undang.
“Malah, aktiviti mereka boleh dikategorikan sebagai jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 kerana mereka sering menggunakan ugutan dan kekerasan untuk mendapatkan bayaran balik,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
GOLONGAN PROFESIONAL JADI MANGSA
Selain itu, Adam mendedahkan lebih 22,000 mangsa ah long direkodkan di seluruh negara dengan jumlah pinjaman keseluruhan mencecah RM40 juta sejak tahun 2023.
Beliau berkata, jumlah mangsa dan nilai pinjaman itu adalah mereka yang hanya diselamatkan pihaknya dalam kalangan golongan profesional seperti pensyarah, arkitek dan usahawan, mangsa pelaburan mata wang asing termasuk personaliti televisyen seawal umur 15 tahun hingga 60 tahun.
Katanya, mangsa-mangsa ini kini dalam fasa pemulihan daripada kemurungan dan lebih parah mengalami gangguan mental selepas menjadi mangsa peminjam tidak berlesen atau ah long.
“Masalah ini tidak boleh dipandang enteng oleh kerajaan kerana setiap tahun jumlah peminjam meningkat antara 30 dan 50 peratus.
“Kesemua mereka akan menghadapi isu kesihatan mental jika gagal membayar pinjaman tepat pada waktunya,” katanya
PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG
Dalam hal ini, beliau kesal kes ah long sudah wujud berdekad lamanya, tetapi tiada satu tindakan konkrit yang menyeluruh daripada pihak kerajaan khususnya melindungi keselamatan peminjam.
Katanya, iklan-iklan atau makluman berkaitan pinjaman wang segera yang hampir kesemuanya diuruskan oleh ah long menerusi media sosial semakin banyak dan mencurigakan, tetapi ia dilihat bebas tanpa pemantauan terutama pihak berkuasa.
“Yang biasa berlaku, ah long mengiklankan pinjaman yang kononnya 1.5 peratus kadar faedah tetapi akhirnya selepas peminjam mendapat duit, kadar faedah melonjak menjadi 40 peratu. “
“Kami berharap, kerajaan semak semula undang-undang berkaitan pinjaman wang sama ada berlesen atau tidak kerana ia dilihat lemah dan pastikan tiada tangan-tangan yang melindungi kegiatan ah long,” katanya.
Selain itu, beliau juga menggesa kerajaan membanteras habis-habisan kumpulan ah long yang dipercayai berselindung di sebalik syarikat pinjaman wang berlesen demi mengaut keuntungan berganda agar tidak ramai menjadi mangsa kegiatan.
Ulasan
Catat Ulasan