Arahan papar harga ubat keterlaluan – Dato’ Dr Yunus


Arahan papar harga ubat keterlaluan – Dato’ Dr Yunus
May 2, 2025

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan perlu mempertimbangkan semula arahan memaparkan harga ubat di klinik dan hospital swasta, gesa Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional (PN), Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Menurut beliau, saranan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mewakili suara majoriti pengamal perubatan swasta di negara ini juga perlu diberikan perhatian serius.

“Saya telah membangkitkan dalam sidang Parlimen yang lalu isu berkaitan fi perundingan pengamal perubatan am (GP) yang tidak dikaji semula sejak lebih 30 tahun.

“Ini merupakan antara tuntutan utama MMA yang mewakili ribuan pengamal perubatan serta klinik swasta di seluruh negara. Pandangan dan saranan MMA wajar dihormati dan diambil serius oleh pihak kerajaan.

“Peraturan ini sepatutnya dikuatkuasakan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 dan bukannya menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 yang kurang sesuai dengan konteks perkhidmatan kesihatan.” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Kuala Langat itu, perkhidmatan di hospital dan klinik swasta mahupun kerajaan melibatkan proses diagnosis, rawatan penyakit, pemberian ubat-ubatan serta khidmat nasihat kesihatan yang dikenakan caj tertentu.

“Tidak seperti farmasi, hospital dan klinik tidak berfungsi sebagai tempat jualan ubat secara terbuka, justeru amalan memaparkan harga ubat seperti di farmasi tidak wajar disamakan.

“Pada hemat saya, memaparkan harga ubat secara terbuka di klinik atau hospital tidak perlu. Memadai jika harga dan jenis ubat dinyatakan dengan jelas dalam resit atau slip pesakit.

“Ini sudah cukup untuk membolehkan pesakit membuat perbandingan atau mendapatkan maklumat lanjut sekiranya mereka mahu.

“Arahan mempamerkan harga ubat secara terbuka di premis perubatan swasta adalah keterlaluan dan tidak mengambil kira realiti operasi perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah memberi jaminan bahawa arahan mempamerkan harga ubat di kemudahan perubatan swasta hanya akan dilaksanakan selepas semakan semula kadar fi GP dibuat.

Jaminan itu dibuat dalam pertemuannya bersama Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh Khaira pada Februari lalu mengenai isu ketelusan harga ubat.

Namun sehingga kini, tiada sebarang semakan dilakukan, dan malangnya tiada sesi libat urus susulan bersama MMA serta pihak berkepentingan lain seperti yang dijanjikan oleh Menteri Kesihatan. – HARAKAHDAILY 2/5/2025

Ulasan