Bekas CEO pula ditahan kes tuntutan palsu RM360 juta


Bekas CEO pula ditahan kes tuntutan palsu RM360 juta
BEKAS CEO ditahan reman SPRM kes tuntutan palsu RM360 juta di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
4 Mei 2025, 6:40 am

PUTRAJAYA: Seorang lagi bekas ketua pegawai ekskutif (CEO) yang disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 5 Mei ini (esok) terhadap lelaki tersebut dikeluarkan Pendaftar Eleanor Mako Timothy selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia sekitar 40-an itu ditahan kira-kira pukul 11 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi membuat tuntutan berjumlah kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam projek pembinaan lebuh raya bernilai kira-kira RM1.30 billion,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM2009.

Beliau berkata, empat individu yang ditahan reman pada Rabu lalu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan empat individu termasuk Datuk dan Datuk Seri yang ditahan SPRM selepas dipercayai membuat tuntutan kira-kira RM360 juta sedangkan kerja pembinaan lebuh raya di Lembah Klang tidak dilaksanakan mereka sepenuhnya.

Difahamkan, kesemua suspek daripada syarikat konsesi, syarikat kontraktor perunding kejuruteraan dan syarikat pemegang amanah sukuk itu telah mengemukakan tuntutan mengikut kemajuan kerja yang telah disiapkan walhal projek itu tidak berjalan.

Bukan itu sahaja, projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.30 bilion yang sepatutnya siap 100 peratus pada 2019 namun hanya disiapkan 70 sehingga 80 peratus.

Susulan itu, SPRM telah bertindak merampas beberapa dokumen kewangan dan kontrak melibatkan projek lebuh raya itu untuk diteliti lebih lanjut.

SPRM juga dikatakan dalam proses mengesan aset-aset atau akaun milik kesemua individu terliba sama ada mempunyai kaitan dengan tuntutan yang dibuat. – UTUSAN

Ulasan