Dato’ Rafizi biarkan pesawat bergerak secara ‘auto-pilot’?


Dato’ Rafizi biarkan pesawat bergerak secara ‘auto-pilot’?

Hadapi gelora ketidaktentuan ekonomi global ketika ini
May 10, 2025

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengingatkan Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli agar jangan terlalu lama bercuti dan membiarkan kementerian dibiarkan berjalan secara ‘auto-pilot’.

Menurut beliau, Malaysia tidak terkecuali dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini dan menyifatkan keadaan dihadapi negara pada ketika ini adalah berada dalam tempoh bergelora.

Di peringkat global, impak tarif Amerika Syarikat amat ketara sehingga KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara bakal disemak semula. Ini memerlukan koordinasi dan intervensi daripada Kementerian Ekonomi.

“Pendekatan keseluruhan negara atau ‘whole-of-nation approach’ perlu diambil bagi memastikan penyelarasan dilakukan,” ujar beliau yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau menyelarasan itu mesti berlaku antara strategi perdagangan di bawah Kepenterian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dasar fiskal menerusi Kementerian Kewangan (MOF) serta perancangan ekonomi di bawah Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Selain menurutnya, melibatkan sama usaha diplomasi antarabangsa dengan kendalian Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), dan pengupayaan ekonomi negeri secara kerjasama Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN).

Tegas beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS, agar semua penyelarasan tersebut dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh dan dapat diwujudkan secara bersepadu, maka Kementerian Ekonomi tentulah tidak terkecuali.

Pada masa sama kata Syahir lagi, Kementerian Ekonomi punyai tugasan penting kepada rakyat iaitu menguruskan penyasaran subsidi petrol dan mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) serta memuktamadkan pengkelasan T15 dan B85.

Juga peringatnya, memastikan kelangsungan agenda Bumiputera, agenda kemiskinan, di samping tugasan terpenting iaitu penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Rang Undang-undang (RUU) Statistik yang akan dibentangkan di Parlimen, semuanya pada tahun ini.

“Umpama berdepan gelora udara atau ‘turbulence’, tidak wajar ‘pesawat’ iatitulah Kementerian, dibiarkan bergerak secara ‘auto-pilot’, tanpa intervensi, tanpa pengemudi. Saya tabik kepada ‘krew’ Kementerian, kekal tenang, setia berbakti, penuh dedikasi.

“Kepada YB Menteri, jangan terlalu lama bercuti. Tidak wajar urusan Kementerian dibiarkan berjalan secara ‘auto-pilot’ dalam tempoh bergelora ini,” peringatnya. – HARAKAHDAILY 10/5/2025

Ulasan