
Dewan Ulamak gesa kerajaan tegas isu pensijilan halal
Dalam rundingan dengan AS
May 8, 2025
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa kerajaan melalui Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) bertegas dengan isu pensijilan halal dalam rundingan Halangan Bukan Tarif (NTB) bersama Amerika Syarikat (AS).
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, perkara itu berbangkit berikutan pensijilan halal menjadi salah satu daripada empat item mahu dirundingkan oleh AS terhadap Malaysia selepas kenaikan tarif 24 peratus yang dikenakan terhadap negara ini.
“DUPP berpandangan permasalahan utama pensijilan halal ini bukan disebabkan oleh proses birokrasi untuk pemerolehan sijil berkenaan, tetapi faktor pematuhan lain termasuklah pengetahuan sesetengah syarikat berkenaan halal.
“Ia sebenarnya bukan masalah di peringkat proses, tetapi memperluaskan pengetahuan pihak luar yang mahu mengeksport makanan ke dalam Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga seharusnya dilibatkan dalam proses rundingan itu, khususnya apabila menyentuh isu pensijilan halal yang terletak di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.
“Oleh yang demikian, DUPP menyarankan agar kerajaan dan MITI sendiri tidak melonggarkan sebarang protokol halal sekadar mahu memenuhi rundingan tarif dengan AS.
“Prinsip awal rundingan seharusnya memelihara kedaulatan dan maruah negara itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan