Himpunan Ummah Pahang beri isyarat kebangkitan


Himpunan Ummah Pahang beri isyarat kebangkitan
May 6, 2025

KUANTAN: Semangat solidariti ditunjukkan pada Himpunan Penyatuan Ummah Pahang dan Solidariti Palestin baru-baru ini akan menjadi titik permulaan kepada kebangkitan ummah yang lebih besar.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan berkata, himpunan berlangsung pada 3 Mei 2025 di Padang Cenderawasih itu mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kehadiran ramai walaupun hujan turun membasahi bumi Pahang.

“Pemandangan lampu telefon bimbit dinyalakan oleh ribuan peserta telah menjadi simbolik akan kehadiran ummah yang tidak dapat dibendung, bagaikan lautan cahaya menerangi kegelapan kezaliman terhadap Palestin.

“Dan pengkhianatan terhadap tanah air kita. Hujan bukanlah penghalang kepada semangat juang rakyat Pahang untuk menyatakan pendirian mereka terhadap isu-isu yang sedang membelenggu negara dan ummah Islam seluruhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, himpunan berkenaan adalah kesinambungan semangat untuk memperjuangkan maruah Melayu dan Islam, bukan untuk menyisihkan bangsa-bangsa lain di Malaysia.

“Tidak ada masalah untuk memperjuangkan bangsa Melayu dan ia sama sekali bukan rasis sebagaimana yang sering dituduh oleh pihak-pihak tertentu. Sepertimana orang Cina dan India sentiasa memperjuangkan kepentingan bangsa mereka.

“Orang Melayu juga mempunyai hak yang sama untuk mempertahankan hak dan kedudukan mereka di tanah air sendiri. Apa yang kita perjuangkan adalah berdasarkan perlembagaan iaitu hak istimewa orang melayu, bukan penindasan terhadap bangsa lain.

“Himpunan ini juga telah berjaya menyoroti isu terkini yang mencabar kedaulatan Sultan Pahang, terutamanya berkaitan pencerobohan tanah hutan simpan untuk penanaman durian secara haram.

“Isu ini bukan sahaja melibatkan pencerobohan harta awam, tetapi juga satu bentuk penderhakaan terhadap titah Tuanku Sultan yang telah melarang aktiviti tersebut,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan peserta himpunan dengan sebulat suara menunjukkan sokongan padu kepada tindakan Sultan Pahang dalam menangani isu tersebut dan mengutuk keras tindakan segelintir pihak yang berani menentang titah baginda.

“Inilah bukti kesetiaan rakyat Pahang kepada institusi diraja. Kejayaan Himpunan Penyatuan Ummah Pahang ini membuktikan bahawa rakyat Pahang, terutamanya umat Islam, masih mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Apa yang berlaku di Ayer Kuning dengan pencemaran najis babi di Sungai Bidor, pencerobohan tanah hutan simpan, dan penderhakaan terhadap titah Tuanku Sultan adalah tanda-tanda bahawa kita perlu lebih bersatu dan tegas dalam memperjuangkan hak kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2025

Ulasan