Israel terbakar: Balasan berlaku, perlahan tapi pasti!


Israel terbakar: Balasan berlaku, perlahan tapi pasti!
May 2, 2025

BULAN yang sepatutnya menjadi detik kebahagiaan Israel untuk merayakan ulangtahun ke-77 penubuhan negara haram itu, telah bertukar menjadi detik darurat yang penuh tragis dan panik.

Api marak membakar kawasan hutan dengan hebat, diburukkan lagi oleh cuaca panas melampau, angin kencang serta ribut pasir. Keadaan menjadi tidak terkawal, sehingga Israel yang selama ini begitu angkuh, terpaksa merayu bantuan antarabangsa.

Kini, dunia menyaksikan bagaimana bumi yang selama ini dibasahi darah rakyat Palestin yang tidak berdosa, akhirnya mengalirkan bara kepada pihak yang telah begitu lama kebal dari keadilan. Israel terbakar bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga mula hangus dari dalam dek terancam oleh ketakutan, panik, dan hilang arah.

Hanya melalui dua tentera Allah iaitu api dan angin, Tel Aviv kini dilanda darurat. Biarpun memiliki sistem ketenteraan dan pertahanan antara yang paling canggih di dunia, sepertinya kelihatan tidak bermakna.

Di saat dunia menutup mata, media antarabangsa membungkam suara rakyat Palestin, tetapi langit sentiasa ada. Allah itu Maha Melihat. Dan hari ini, bumi yang mereka kotori dengan kekejaman mula menunjukkan murka-Nya.

Firman Allah SWT:

“Dan janganlah engkau menyangka bahawa Allah lalai terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah hanya memberi tangguh kepada mereka sehingga hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak.” (Ibrahim: 42)

Inilah harga kezaliman yang berabad ditabur. Inilah balasan bagi tangan-tangan yang merampas, bagi lidah-lidah yang memutar fakta, dan bagi mereka yang menjadikan kekuatan sebagai tiket untuk membunuh tanpa rasa bersalah.

Rakyat Palestin telah lama menjadi lambang ketabahan. Mereka tidak punyai senjata canggih, tetapi mereka punyai doa. Dan ketika doa orang-orang yang dizalimi itu naik ke langit, lalu Allah menjawabnya dengan firman-Nya: “Kun Fayakun”, maka tiada siapa yang mampu menahan akibatnya.

Mungkin ini baru permulaan. Tapi ia sudah cukup membuktikan bahawa tiada kezaliman yang kekal, dan tiada kekuatan yang mampu melawan takdir-Nya.

USTAZ MUHAMMAD ABDUL MALIK ABDUL KARIM
Pemgerusi
Lajnah Antarabangsa
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/5/2025

Ulasan