

Berita
Isu pencerobohan kebun durian - Na'im tak akan tunduk desakan k'jaan Pahang
Diterbitkan: May 20, 2025 3:31 PMExco Pemuda Bersatu (Armada) Na'im Brundage tidak akan menarik balik kenyataannya ataupun memadamkan kandungan video berhubung isu pencerobohan kebun durian Raub meskipun berdepan ancaman kerajaan negeri Pahang.
Jelasnya, tindakan kerajaan negeri Pahang melalui Unit Komunikasi Strategik pada 18 Mei lalu yang memberi amaran supaya dia memadam dua video berkaitan isu pencerobohan kebun durian haram secara terbuka jelas berniat jahat.
Katanya, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah satu fitnah yang bertujuan untuk merosakkan reputasinya sebagai pencipta kandungan yang menyuarakan isu rakyat secara berhemah.

"Saya ingin menyatakan bahawa saya tetap berpegang kepada kenyataan saya bahawa tiada tindakan menyeluruh telah diambil terhadap pekebun durian haram di Raub yang telah menceroboh kawasan berkenaan sejak lebih empat dekad lalu.
"Dari sudut perundangan, kenyataan saya tidak melanggar sebarang undang-undang memandangkan ia telah dibuat berdasarkan fakta yang diketahui umum, menyentuh isu yang melibatkan kepentingan awam, dan disampaikan secara jujur tanpa niat jahat.
"Tindakan kerajaan negeri cuba menyekat perbincangan terbuka berkenaan isu ini adalah bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Saya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan atau intimidasi seperti ini dan akan terus bersuara sehingga tindakan tegas diambil terhadap semua pencerobohan durian haram di bumi Pahang," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri Pahang dilapor memberikan tempoh sehingga 10 pagi hari ini supaya Na’im memohon maaf dan menarik semula kenyataannya yang dikatakan memfitnah kerajaan negeri dalam menangani isu kebun durian haram Musang King.
Pengarah Komunikasi Strategik (UKS) negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer, berkata video-video yang dimuatnaik oleh Na’im jelas berniat ingin memburukkan imej kerajaan negeri memandangkan pihak UKS dan kerajaan negeri telah mengeluarkan penjelasan berkenaan isu ini.
“Kami beri sehingga jam 10 pagi esok, 20 Mei 2025 untuk yang pertama, saudara Na’im Brundage padam dua video tersebut, dan kedua, buat permohonan maaf secara terbuka terhadap tomahan yang dilakukan ke atas kerajaan negeri Pahang dan menteri besar Pahang atau kita ambil tindakan-tindakan susulan," katanya seperti dilapor Pahang Media.
Sementara itu, Na'im berkata dia bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang bagi menyelesaikan pertelingkahan itu secara baik.

Katanya, sehingga kini tindakan diambil terhadap penceroboh tanah di Raub terlalu sedikit iaitu sekitar 68 orang sahaja berbanding 200 pekebun yang mengemukakan semakan kehakiman.
"Saya terbuka untuk berjumpa dengan mereka (kerajaan negeri), mereka tak beri spesifikasi, saya buat empat video mereka suruh turunkan dua...dua (video) yang mana saya tak tahu.
"Sejak pukul 10 pagi tadi mereka (kerajaan negeri) masih belum menghubungi saya atau mana-mana pihak," katanya.
Ditanya sekiranya kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, Na'im berkata itu terpulang kepada pihak terbabit.
Ulasan
Catat Ulasan