‘Jangan dukung pemimpin yang bohongi rakyatnya’


‘Jangan dukung pemimpin yang bohongi rakyatnya’

Parti Melayu Islam perlu segera bersatu
May 4, 2025

KUANTAN: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru parti-parti politik Melayu segera bersatu atas nama Islam kerana menurutnya, masa semakin suntuk dan perpecahan hanya melemahkan kekuatan umat.

“Atas pentas ni malam ni kita menyeru parti-parti politik Melayu khususnya kita dah tak ada masa. Kita mesti bersatu di atas nama Islam. Kita perlu bersatu. Perpecahan kita, kita hilang kekuatan.

“Kita menyeru rakan-rakan kita daripada semua parti-parti Melayu Islam. Benda yang remeh-temeh ketepikan. Jangan dukung nilai-nilai yang bercanggah dengan syarak. Jangan tegakkan nilai-nilai liberal yang cuba dibawa oleh orang luar ke negara kita,” ujarnya.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang kawasan Cheka itu berkata demikian dalam Himpunan Penyatuan Ummah Pahang & Solidariti Palestin di Padang Cenderawasih, di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menegaskan agar rakyat tidak menyokong pemimpin yang berbohong dan menipu serta mengingatkan kesan pengkhianatan terhadap bangsa sendiri.

“Jangan dukung pemimpin yang berbohong. Jangan dukung pemimpin yang menipu. Tak boleh. Mungkin kita tak cerdik tapi jangan pembohong. Mungkin kita tidak bijak tapi jangan jadi pembohong. Dan jangan jadi pengkhianat kepada bangsa sendiri. Anak cucu kita akan pijak kubur kita satu hari nanti,” katanya.

Beliau menekankan bangsa Melayu perlu mempunyai kekuatan dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, politik, perpaduan, ketenteraan serta jati diri sebagaimana pesan Nabi Muhammad SAW.

“Bangsa ini perlu ada kekuatan kita perlu ada kekuatan sebagaimana pesanan Nabi SAW orang mukmin yang kuat kata Rasulullah lebih dikasihi oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah. Ataupun pada sekaliannya ada kebaikan.

“Kita kena kuat ekonomi. Kita kena kuat politik. Kita kena kuat perpaduan. Kita kena kuat ketenteraan. Kita kena kuat semangat dan jati diri kita. Kita perlu kuat kekuatan kita kerana Nabi suka umatnya yang kuat. Orang Melayu jangan dilemah sangat. Ditipu setiap waktu. Ya. Kita perlu kembali kepada penyatuan ini,” katanya.

Bekas Menteri Air dan Alam Sekitar itu turut menyatakan komitmen PAS dan Perikatan Nasional untuk bersama rakan politik lain menjelang Pilihan Raya Umum akan datang demi membina masa depan negara.

“PAS bersama rakan kita dalam Perikatan Nasional. Kita menyeru menjelang Pilihan Raya Ke-16 kita duduk bersama dengan rakan-rakan parti-parti politik yang lain. Kita perlu bina masa depan. Jangan dukung pemimpin yang sanggup khianat. Kita perlu membina kekuatan kita yang kita ada hari ini,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa siri himpunan anjuran NGO bukan bertujuan menimbulkan perkauman tetapi sebagai usaha mempertahankan hak.

“Kita ada berapa siri lagi negeri-negeri yang akan adakan himpunan. Himpunan bukan untuk kita timbulkan rasis pada kaum lain. Bukan kita nak hina kaum lain. Kita nak bina kaum kita. Kita bukan nak herdik kaum lain. Kita bukan nak hina kaum lain.

“Kita bukan nak ambil hak kaum lain. Kita nak pertahan hak kita. Kita pertahan harta kita. Kita pertahan maruah kita. Kita pertahan tanah air kita ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2025

Ulasan