
Jawatan MB Selangor, Menteri MITI bakal berubah?
May 5, 2025
KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) membayangkan kemungkinan berlakunya perubahan jawatan Menteri Besar Selangor dan juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ketika berucap di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Usikan bersahaja dilontarkan Penolong Setiausaha Agung PAS itu dinyatakan beliau ketika mengambil bahagian dalam perbahasan isu Tarif Amerika Syarikat dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.
- Advertisement -
“Dalam banyak-banyak negeri saya kira Selangor yang akan ‘soft landing’ dalam isu ini. Menteri pun senyum itu. Kerana ada desas-desus yang dinafikan sebelum ini saya dengar ada perkembangan baru lepas raya baru-baru ini.
“Jadi tunggulah tak lama lagi mungkin Selangor bakal mendapat MB (Menteri Besar) yang baharu. MITI bakal mendapat Menteri yang baharu. Sahabat saya, Menteri Ekonomi yang boleh bercuti waktu negara berdepan dengan perang ekonomi ni, saya serah pada rakyat untuk menilainya,” ujar beliau.
Disember lalu, politik negara dikejutkan dengan dakwaan bakal berlaku pertukaran Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dengan Menteri MITI, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Selain peletakan jawatan Zafrul daripada Bendahari Umno Selangor, beliau juga dikatakan ketika itu menyertai PKR dan ‘Langkah Zafrul’ cuba direncanakan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil diadakan.
Syahir dalam ucapannya itu turut diganggu oleh Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat yang bangun mempertikaikan beliau kononnya telah memberikan sangkaan buruk terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Sedangkan Syahir dalam ucapannya memuji intervensi Perdana Menteri yang ke hulu hilir dan telefon sana sini dengan kerap dalam mempercepatkan pelbagai rantaian bekalan dan memperkukuhkan hubungan dagang pelbagai hala.
“Di peringkat ASEAN, OIC dan kerjasama perkongsian ekonomi, RCEP dan CPP,” ujarnya menyifatkan itu sebagai pujian kepada Anwar (PH-Tambun), namun berharap semua usaha itu dipercepatkan lagi. – *HARAKAHDAILY 5/5/2025*
Ulasan
Catat Ulasan