KATA MP | Kerjasama dalam kerajaan bukanlah penyerahan


Berita
KATA MP | Kerjasama dalam kerajaan bukanlah penyerahan


KATA MP | Kenyataan terkini oleh Setiausaha Agung Kelab Veteran Umno, Mustapha Yaakub, yang menggambarkan DAP sebagai “kuda liar” yang perlu dijinakkan bukan sahaja tidak wajar — malah bersifat kontra produktif, terutamanya apabila mengambil kira realiti landskap politik negara semasa.

Kenyataan “hari ini kuda liar yang hampir jinak itu bersama Umno dan ia semakin jinak dalam kandang BN-PH” bukan saja memperlekehkan, malah mencerminkan salah faham yang serius terhadap maksud sebenar tadbir urus bertanggungjawab serta kerjasama berprinsip.

Jika usaha merentas parti demi kestabilan dan pencapaian untuk negara dianggap sebagai “jinak”, maka persoalannya ialah, apa sebenarnya yang kita martabatkan apabila kita hanya memerhati dari luar dan mencemuh?

DAP tidak wujud untuk memuaskan hati pihak yang masih berpegang kepada naratif lapuk. Kami adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan kerana rakyat Malaysia memilih perubahan — kurang perpecahan, lebih pencapaian.

Pada hari ini, kekuatan tidak lagi diukur melalui laungan lantang dari bangku pembangkang, tetapi melalui keupayaan untuk mentadbir, bekerjasama, dan menyampaikan hasil kepada semua.

Kami tidak pernah meninggalkan idealisme kami, sebaliknya kami membawanya ke dalam kerajaan, dan kami dapat memperjuangkan reformasi yang benar-benar bermakna.

Jika itu menggusarkan mereka yang bergantung kepada label dan perpecahan, maka terpulanglah. Melabel kami sebagai “jinak” hanya mendedahkan betapa dangkalnya pemahaman sesetengah pihak terhadap keberanian yang diperlukan untuk memimpin pada waktu yang tidak menentu.

Mahu timbulkan keraguan, perpecahan

Ini bukan penyerahan. Ini adalah tanggungjawab — dan terlalu sedikit yang sanggup memikulnya.

Malaysia hari ini ditadbir di bawah kerajaan perpaduan iaitu sebuah gabungan yang dibina atas matlamat bersama, kompromi, dan akauntabiliti bersama.

Setiap komponen – termasuk DAP dan Umno – memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan keberkesanan pentadbiran.

Apabila kenyataan seperti itu dikeluarkan secara terbuka, persoalan yang wajar ditanya ialah: siapa yang mendapat manfaat daripada naratif ini? Dan apa sebenarnya tujuan retorik sebegini?

Adakah matlamatnya untuk memperkukuh kerjasama, atau untuk melemahkannya?

Apabila ahli politik kembali menggunakan metafora seperti “kuda liar”, selalunya ia kerana mereka tidak mempunyai hujah yang kukuh untuk ditawarkan.

Daripada membincangkan perbezaan dasar secara substantif atau mencadangkan alternatif yang bermakna, mereka memilih untuk menggunakan label yang bertujuan menimbulkan keraguan dan perpecahan.

Ironinya, mereka yang kini menyerang DAP tidak pernah keberatan untuk membentuk kerjasama apabila ia menguntungkan cita-cita mereka.

Hari ini kononnya demi kepentingan negara, keesokan harinya pula kami digambarkan sebagai ancaman kepada kestabilan. Dwistandard sebegini seharusnya membimbangkan sesiapa sahaja yang percaya kepada kepimpinan yang ikhlas dan berprinsip.


Pendirian DAP sentiasa konsisten. Kami memperjuangkan tadbir urus yang bersih, ketelusan, reformasi institusi, dan sebuah masyarakat pelbagai kaum yang sebenar. Ini bukan pendirian radikal.

Ini adalah asas kepada sebuah demokrasi yang sihat. Dan jika itu dianggap “liar”, maka mungkin kita perlu menilai semula budaya politik yang sedang kita pertahankan.

Mencadangkan bahawa rakan gabungan perlu dikawal atau dijinakkan adalah satu langkah yang berbahaya. Ia menghakis asas sebenar politik gabungan yang kemajuannya terhasil dicapai melalui perundingan dan keterlibatan, bukan hierarki.

Kekuatan Malaysia bukan sahaja terletak pada kepelbagaian bangsanya, tetapi juga dalam kepelbagaian pandangan, suara, dan pengalaman.

Kita tidak akan mampu melangkah ke hadapan jika terus menuntut pihak yang berfikiran berbeza untuk berdiam diri. Kita berkembang apabila kita sudi mendengar — walaupun kadangkala ia tidak selesa.

Malaysia tidak dibina atas ketakutan. Ia dibina atas harapan bahawa pelbagai suara dapat bersatu dan tetap didengari. Kepimpinan sebenar tidak bergantung kepada kawalan sebaliknya kepada kepercayaan.

Ia tidak menolak yang lain ke tepi. Ia membawa mereka bersama-sama. Dan akhirnya, kekuatan negara kita tidak terletak pada sekuat mana kita menggenggam kuasa, tetapi pada keyakinan kita untuk melangkah ke hadapan bersama.

SYERLEENA ABDUL RASHID ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Ulasan