Kedaulatan ekonomi Malaysia mesti dipertahankan


Kedaulatan ekonomi Malaysia mesti dipertahankan
May 5, 2025

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh hanya bertindak secara responsif, sebaliknya perlu mengukuhkan kedudukan strategiknya dalam ekosistem perdagangan global yang semakin terpecah, peringat Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok).

Justeru Parlimen Malaysia gesanya, hendaklah menolak sebarang bentuk penindasan, dominasi atau perlakuan berat sebelah yang menjejaskan kebebasan negara dalam menentukan masa depan ekonomi.

“Segala bentuk rundingan perdagangan, respon dan tindakan terhadap dasar tarif luar – termasuk dari Amerika Syarikat – hendaklah dinilai daripada neraca kedaulatan ekonomi negara, yang perlu terpelihara.

“Dalam dunia yang kian dicengkam oleh persaingan kuasa besar, Malaysia tidak boleh leka atau alpa dalam mempertahankan kedaulatan ekonomi negara,” ujarnya membahas Tarif Amerika Syarikat yang dikenakan ke atas negara setinggi 24 peratus.

Jelas beliau, kedaulatan ini bukan sekadar dalam neraca pelaburan semata-mata, tetapi mencerminkan keupayaan negara untuk membuat keputusan ekonomi secara bebas, berdasarkan kepentingan nasional.

“Jauh sekali untuk tunduk kepada sebarang bentuk ‘penjajahan’ baharu oleh mana-mana kuasa besar dunia,” ujarnya dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Katanya lagi, pada masa sama, Malaysia perlu mempercepat kepelbagaian rantaian bekalan dan memperkukuh hubungan dagang pelbagai hala di peringkat ASEAN dan OIC, serta memanfaatkan kerjasama perkongsian ekonomi RCEP dan CP-TPP.

Juga menurut beliau yang merupakan Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN), dengan meningkatkan kerjasama bersama blok ekonomi seperti EU, GCC dan BRICS – bagi memperluas akses pasaran dan mempertingkat daya saing eksport tempatan.

Gesa beliau, ia termasuklah ketegasan dalam melindungi kepentingan dan keunikan Malaysia, terutamanya produk komoditi sawit tempatan, pengiktirafan pensijilan halal, dasar bumiputera, dan mineral kritikal seperti nadir bumi (REE).

Menurut Syahir, semua yang menjadi rebutan dunia itu perlu dipertahankan Malaysia sebagai satu kedaulatan negara tanpa digadai maruahnya. – HARAKAHDAILY 5/5/2025

Ulasan