

Berita
Lobi bermula, Nurul Izzah dicadang cabar Rafizi
Diterbitkan: May 6, 2025 12:46 PM
Dikemaskini: 12:58 PM
Ketua PKR cabang Tapah Azam Afandi menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan timbalan presiden yang disandang Rafizi Ramli dalam pemilihan parti hujung bulan ini.
Ketua Penerangan PKR Perak itu turut mengharapkan pencalonan ini mendapat sokongan seluruh anggota dan membuka lembaran baru dalam usaha memacu PKR sebagai parti masa depan untuk Malaysia yang lebih adil, progresif dan inklusif.
"Nurul bukan asing dalam pentas perjuangan PKR.
“Dengan pengalaman sebagai bekas naib presiden parti, ahli parlimen bagi dua penggal, aktivis hak asasi manusia dan pejuang pembaharuan institusi negara, beliau membawa bersama kekuatan nilai dan wawasan yang amat diperlukan untuk memimpin parti menghadapi cabaran mendatang,” katanya.

Azam berkata, pencalonan Nurul Izzah bukan hanya soal personaliti atau faktor warisan tetapi “soal masa depan PKR” untuk terus relevan dan diyakini rakyat.
“Dalam dunia politik hari ini yang semakin mencabar, kita memerlukan pemimpin yang mampu menjadi jambatan antara generasi pengasas reformasi dan generasi baharu yang bakal mewarisi perjuangan ini," kata Azam dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dia percaya sekiranya Nurul Izzah diangkat sebagai timbalan presiden, Puteri Reformasi itu mampu membawa nilai kesederhanaan, ketegasan prinsip dan daya fikir progresif yang amat penting dalam menyuntik semangat baharu dalam parti.
"Nurul juga diyakini mampu memperkukuhkan lagi sinergi antara PKR dan rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Pemilihan PKR bagi jawatan pusat akan diadakan pada 22, 23 dan 24 Mei ini.
Rafizi dua bulan lalu menyatakan hasrat mempertahankan jawatan nombor dua dalam PKR selepas Presiden Anwar Ibrahim itu, bagi mengelakkan perpecahan dalaman.
Sementara, bekas setiausaha agung PRK Saifuddin Nasution yang dikatakan akan mencabar Rafizi masih mengambil sikap tunggu dan lihat.
Terdahulu hari ini, Ketua PKR Titiwangsa Syed Badli Shah Syed Osman mencadangkan Rafizi memberi laluan kepada Saifuddin untuk menggantikannya.
Dia yang juga bekas pegawai kanan bekas presiden Wan Azizah Ismail membangkitkan pengalaman Saifuddin mengharungi “jatuh bangun” PKR.
Ulasan
Catat Ulasan