PERMAI perkasakan lagi daya saing sektor pertanian



PERMAI perkasakan lagi daya saing sektor pertanian
May 4, 2025

KANGAR: Festival Industri Mangga dan Pertanian Perlis (PERMAI 2025) menyasarkan kehadiran seramai 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, sekali gus dijangka memberi suntikan besar kepada ekonomi menerusi sektor pertanian yang menjadi tunjang utama negeri Perlis.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, Festival itu merupakan penjenamaan semula gabungan antara Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) bersama Festival Mangga Harumanis Negeri Perlis, dengan pengisian yang lebih padat dan menarik.

“Pada tahun lepas, HPPN berjaya mencatatkan nilai jualan mencecah RM694,531.10 dengan kehadiran hampir 39,000 pengunjung. Tahun ini kita sasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang berlangsungnya festival ini.

“Penjenamaan semula ini bukan sekadar pada nama, tetapi turut mencerminkan aspirasi kita untuk mengangkat pertanian sebagai sektor strategik dalam menjana ekonomi rakyat dan negeri,” katanya.

Beliau berucap sempena Festival PERMAI 2025 di Dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini malam tadi.

Festival tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berkenan menyempurnakan majlis perasmian.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Antara tarikan utama festival kali ini termasuk pameran petting zoo, persembahan kebudayaan seperti wayang kulit Asun, pertandingan ayam shegak tercantik, jualan ‘happy hour’ Mangga Harumanis, dan cabutan bertuah yang menawarkan seekor lembu sebagai hadiah utama.

Menurut Mohd Shukri, Kerajaan Negeri Perlis komited untuk terus menyokong golongan peladang, penternak dan nelayan melalui pelbagai inisiatif strategik dan bantuan bersasar.

“Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada tiga kaedah utama dalam memajukan sektor ini, termasuk memperkenalkan teknologi pertanian moden dan Revolusi Industri (IR 4.0), penghargaan kepada komuniti agro serta penyediaan pelbagai bentuk bantuan kewangan dan infrastruktur,” jelas beliau.

Untuk tahun 2024, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.73 juta khusus untuk sektor pertanian, termasuk projek baharu seperti tanaman avocado, penghasilan cendawan tiram dalam kontena dan integrasi ternakan lebah kelulut di ladang kelapa.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Shukri turut mengumumkan pelbagai bantuan yang disalurkan kepada komuniti nelayan di negeri ini, termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) berjumlah RM1.32 juta kepada 378 penerima.

Selain itu ujarnya, Insentif Hasil Tangkapan Ikan (IHTI) bernilai RM772,452.22 dan juga subsidi bahan api diesel dan petrol melebihi RM27 juta. Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan (TBAKN) yang membantu 121 nelayan dengan peruntukan RM129,100.

“Pembinaan 60 unit rumah Program Perumahan Nelayan yang telah siap sepenuhnya serta penubuhan ladang kontrak kepada tiga usahawan perikanan,” katanya lagi.

Di samping itu, pihaknya juga melakukan penambahbaikan bangunan di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Hasil Perikanan (CCDC) dengan kos RM70,000.

Mohd Shukri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas peruntukan sebanyak RM3.8 juta yang disalurkan kepada negeri Perlis bagi tahun 2024 dan jumlah yang sama juga untuk tahun 2025.

“Dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi-agensi KPKM, kita akan terus pastikan pembangunan industri agromakanan negeri Perlis kekal berdaya saing dan memenuhi dasar keterjaminan makanan negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai peranan generasi muda, beliau menyeru agar lebih ramai anak muda menyertai sektor pertanian dan agromakanan bagi membawa pendekatan segar dan inovatif ke arah menjadikan bidang ini sebagai kerjaya yang mampu menjana pendapatan stabil.

“Kita mahu lahirkan lebih ramai agropreneur muda yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mampu mentransformasikan sektor ini kepada lebih moden dan mampan,” tegas beliau.

Mohd Shukri menyeru seluruh rakyat Perlis agar hadir beramai-ramai memeriahkan Festival PERMAI 2025 yang berlangsung dari 2 Mei hingga hari ini.

“Inilah masanya kita menghargai jasa petani, nelayan dan penternak serta menyokong produk tempatan.

“Selain itu, rakyat juga boleh mendapatkan pelbagai informasi dan khidmat terus dari agensi-agensi kerajaan dan swasta melalui booth yang disediakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2025

Ulasan