Sanusi angkat sumpah MB terus fokus isu bekalan air
Apa Kedah buat tangani masalah bekalan air? (Siri Kedua)
May 19, 2025
SEBAIK sahaja Kedah diterajui Perikatan Nasional (PN) pada peralihan kuasa 17 Mei 2020, Menteri Besar, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor, telah mengambil langkah mengatasi masalah bekalan air bersih di negeri itu, yang telah berlarutan sejak puluhan tahun.
Termasuk tindakan penamatan kontrak syarikat konsesi air, Taliwork Langkawi Sdn Bhd yang bermula pada 1 November 2020, secara tidak langsung memberi keuntungan kepada kerajaan negeri.
Syarikat berkenaan beroperasi telah mengurus bekalan air di Langkawi selama 25 tahun dan bermula tarikh itu, ia diambil alih oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) sepenuhnya, sekali gus memberi kelegaan besar kepada SADA dan kerajaan negeri sendiri.
Manakala perjanjian konsesi air bersama Air Utara Indah (AUI) Sdn Bhd juga tamat pada Ogos pada tahun yang sama.
Dari krisis ke solusi mapan
Kedah, sebuah negeri yang kaya dengan sumber air mentah, menyimpan kapasiti takungan yang luar biasa tinggi. Enam empangan utama yang menjadi kawasan tadahan di negeri ini kekal di paras optimum sepanjang tahun, meskipun ketika musim kemarau.
Dengan jumlah simpanan mencecah 1.48 bilion meter padu, ia bukan sahaja mencukupi untuk kegunaan dalam negeri, bahkan mampu menyalurkan bekalan ke Perlis dan Pulau Pinang.
Namun, di sebalik kekayaan sumber itu, Kedah berdepan cabaran besar dalam aspek agihan dan pengurusan air.
Setakat tahun 2020, walaupun terdapat peningkatan hampir 10,000 akaun pengguna air bersih berbanding tahun sebelumnya, jumlah bekalan yang diterima oleh setiap akaun mencatat sedikit penurunan.
Ini berpunca daripada infrastruktur Loji Rawatan Air (LRA) yang tidak dinaik taraf dan sistem agihan yang uzur, bocor, dan tidak disenggara dalam tempoh yang lama.
Lebih membimbangkan, kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Kedah mencecah 47 peratus, jauh melebihi piawaian maksimum 29.2 peratus yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Kebocoran sistem, kegagalan sistem paip dan kelemahan pengurusan menjadi punca kepada krisis yang berlarutan.
Langkah berani kepimpinan baharu
Menyedari kepentingan menyelesaikan isu bekalan air, Menteri Besar segera menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan sejurus mengangkat sumpah pada 17 Mei 2020.
Tugas berat ini diamanahkan kepada bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’Sri Mohamad Shukri Abdull.
Antara punca utama yang dikenal pasti adalah kelemahan tadbir urus, pembaziran perbelanjaan, kerenah birokrasi, serta pengurusan air yang diswastakan.
Konsesi kepada dua syarikat iaitu Air Utara Indah Sdn Bhd (AUISB) dan Taliwork Langkawi Sdn Bhd (Taliwork) ditamatkan secara rasmi pada 1 Ogos dan 31 Oktober 2020, sekali gus menjimatkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebanyak RM12 juta sebulan.
Kesungguhan pentadbiran baharu ketik itu juga diterjemahkan dalam penyelesaian hutang lama di mana dalam masa empat bulan, SADA berjaya membayar RM38.8 juta daripada RM44.56 juta hutang kepada AUISB, dan RM25.82 juta daripada RM63.1 juta kepada Taliwork.
Pelan komprehensif peningkatan infrastruktur
Pembinaan lima LRA baharu yang tertangguh sekian lama akhirnya dimuktamadkan menerusi rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Projek-projek ini dibiayai melalui kombinasi geran dan pinjaman, dengan hanya satu loji memerlukan pembiayaan hutang, empat daripadanya akan diberi geran terus di bawah Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) hasil perjanjian migrasi yang dimeterai pada Mac.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika itu, mengumumkan bahawa sebanyak 24 projek air dan alam sekitar dengan kos RM4.44 bilion telah diluluskan untuk Kedah.
Pengumuman itu, antara peruntukan besar termasuk LRA Pelubang, RM455.98 juta, LRA Bukit Selambau (RM147.78 juta), LRA Sungai Limau (RM108.41 juta), LRA Jeniang Baru (RM161.98 juta), dan LRA Lubuk Buntar Lama (RM57.42 juta).
RM600 juta diperuntukkan atasi krisis air Langkawi
Langkawi bakal melihat perubahan besar dalam sistem bekalan airnya apabila usaha membaik pulih saluran air sepanjang 3 kilometer dari tanah besar yang mengalami kebocoran sebanyak 20 juta liter sehari, diperbaiki.
Projek ini bukan sahaja memberi impak besar dalam mengatasi masalah bekalan air yang telah lama di pulau itu, sebaliknya memberi nafas lega kepada penduduknya.
Selain pembaikan saluran, rancangan bekalan air jangka panjang juga telah disediakan untuk memenuhi keperluan sehingga tahun 2040.
Keseluruhan kos yang diperuntukkan bagi inisiatif ini berjumlah RM600 juta dan dalam masa sama, kerajaan turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM136 juta untuk projek tebatan banjir bagi kawasan terjejas.
Kerajaan negeri juga komited untuk menangani kekangan berkaitan isu bekalan air secara menyeluruh melalui pendekatan yang diambil melibatkan dua peringkat, makro dan mikro.
Pendekatan makro menyentuh aspek infrastruktur seperti LRA, saluran utama, paip retikulasi dan saluran dasar laut atau ‘submarine pipe-line’ manakala pendekatan mikro pula menumpukan kepada urus tadbir dan operasi dalaman, khususnya di SADA.
Kerajaan negeri juga ketika itu menaruh perhatian kepada potensi sumber air baharu melalui pembangunan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), terutama di Lembangan Sungai Muda yang dikenal pasti berpotensi tinggi sebagai sumber air masa depan Kedah.
Namun begitu, usaha kerajaan negeri tidak terlepas daripada kritikan tidak berasas pihak pembangkang, termasuk dakwaan berhubung pembelian kenderaan Vellfire yang didakwa digunakan oleh Menteri Besar, serta pelantikan Dato’Azmi Din yang kononnya tidak layak kerana berkerusi roda.
Sebenarnya, kenderaan tersebut dibeli untuk kegunaan rasmi SADA yang selama ini tidak mempunyai kemudahan setaraf untuk menampung urusan penting.
Manakala Dato’ Azmi pula dipanggil kembali berkhidmat pada ketika itu sebagai Pengarah Eksekutif SADA bagi menyusun kembali pengurusan SADA berdasarkan pengalaman dan kepakarannya.
Di bawah pentadbiran baharu, budaya kerja yang lebih positif dan produktif berjaya diwujudkan dan ia merupakn salah satu langkah proaktif, selain menamatkan kontrak pemotongan rumput di LRA oleh pihak luar, dan sebaliknya memberi peluang kepada Pembantu Am Rendah SADA sendiri.
Pelbagai tugasan lain turut dimanfaatkan sepenuhnya oleh tenaga mahir dalam organisasi, seterusnya meningkatkan prestasi dan motivasi pekerja.
Keseluruhan pendekatan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja serius menyelesaikan masalah bekalan air, malah turut memastikan setiap tindakan membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negeri Kedah secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 19/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan