

Berita
Seorang Tan Sri disiasat disyaki terlibat pengubahan wang haram
Diterbitkan: May 8, 2025 7:55 PM
Dikemaskini: 7:55 PM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram terkait pemilikan saham sebuah syarikat minyak dan gas bernilai lebih RM500 juta.
Menurut sumber, siasatan turut menjurus kepada unsur rasuah melibatkan beberapa pelaburan selepas penggabungan dua anak syarikat di bawah syarikat terbabit.
“Siasatan dan pengeledahan dijalankan di beberapa lokasi iaitu pejabat syarikat berkenaan serta kediamannya (Tan Sri) di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Tan Sri terbabit telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk rakaman percakapan pada 5 dan 6 Mei lalu bagi membantu siasatan.
"Tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat hari ini,” katanya hari ini.
Sumber itu juga memaklumkan siasatan SPRM sedang mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan.
Katanya fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, iaitu salah guna kuasa dalam isu ganjaran melibatkan gaji, bonus dan syer, yuran penjenamaan dan penempatan persendirian dari 2012 hingga 2021.
“Sebanyak 83 akaun bank milik lima individu dan 15 syarikat melibatkan nilai kira-kira RM158.26 juta dibekukan susulan siasatan ini, selain tindakan penyiasatan tadbir urus juga akan dijalankan,” kata sumber berkenaan.
- Bernama
Ulasan
Catat Ulasan