

Berita
Surat Rafizi tak bocor dari pejabat setiausaha agung - Fuziah
Diterbitkan: May 19, 2025 12:14 PMSetiausaha Agung PKR Fuziah Salleh menafikan dakwaan bahawa pejabatnya yang membocorkan surat sulit timbalan presiden, Rafizi Ramli kepada presiden parti Anwar Ibrahim.
Dalam mesej ringkas kepada Malaysiakini, Fuziah menyangkal dakwaan Rafizi bahawa ada pihak yang membocorkan surat sulit yang dihantarnya untuk memaklumkan keputusannya menolak jemputan merasmikan kongres sayap Pemuda (AMK) dan Wanita parti itu.
“Tak benar surat hanya dihantar kepada presiden dan setiausaha agung sahaja,” kata Fuziah yang mendakwa surat yang sama turut diajukan kepada Pemuda PKR.

“Memang tak bocor dari pejabat setiausaha agung,” kata Fuziah yang juga menegaskan Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim semalam mengesahkan bahawa dia menerima surat Rafizi.
Menjawab laporan awal yang memetik sumber parti, Adam semalam berkata pihaknya telah menerima salinan surat itu dan berharap Rafizi akan mempertimbangkan semula keputusannya untuk tidak merasmikan kongres AMK dan Wanita PKR pada 22 Mei ini.
Bercakap pada program “Jelajah Hiruk” di Ipoh malam tadi, Rafizi mendedahkan surat itu hanya ditujukan kepada dua individu - Anwar dan Fuziah.

"Saya tulis surat pada dua orang sahaja. Kepada Anwar, dan salinan kepada setiausaha agung. Siapa yang bocorkan ni? Macam mana boleh bocor? Surat itu surat sulit! Bukan saja boleh bocor (dan dilaporkan di) berita, (keseluruhan) surat itu terus keluar (dibocorkan)," katanya.
Rafizi berkata ada pihak yang memutar belit tentang kebocoran itu untuk menyerangnya, tetapi dia sebenarnya sedang menunggu peluang untuk menentang pengkritiknya mengenai pelancaran jentera pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini.
Katanya, walaupun sudah menjadi kebiasaan bagi timbalan presiden merasmikan kongres AMK dan Wanita, peranan itu juga termasuk melancarkan jentera utama parti terutama menjelang pilihan raya.
Ulasan
Catat Ulasan