2025 : MUKTAMAR TAHUNAN PAS KEMBALI KE NEGERI KEDAH



2025 : MUKTAMAR TAHUNAN PAS KEMBALI KE NEGERI KEDAH

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Tahun 2025 membawa makna besar kepada Negeri Kedah, bukan sahaja sebagai Tahun Melawat Kedah 2025, tetapi juga sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kali ke-71 yang bakal berlangsung dari 11 hingga 16 September 2025 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. Ia mencatatkan satu lagi detik penting dalam sejarah perjuangan PAS Kedah kerana sekali lagi diberi penghormatan menjadi Tuan Rumah kepada acara tahunan terbesar PAS ini.

Muktamar Tahunan PAS ini bukan sekadar acara tahunan sebuah parti politik, tetapi juga perhimpunan besar nasional yang menggabungkan semangat perjuangan Islam dengan potensi untuk menggalakkan pelancongan dan ekonomi tempatan khususnya kepada negeri Kedah pada kali ini. Ia membuktikan bahawa Muktamar PAS bukan hanya medan bermuhasabah tetapi juga mampu menyumbang secara langsung kepada peningkatan kepada pendapatan negeri dan rakyat dengan kehadiran Perwakilan, Pemerhati dan Penyokong dari seluruh negara.

Lebih menarik, penganjuran muktamar kali ini dilaksanakan selama Enam Hari kerana Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) juga akan diadakan di lokasi yang sama dengan Muktamar Tahunan PAS Pusat. Muktamar DPPP pada 11-12 September, Muktamar DMPP pada 13-14 September manakala Muktamar PAS Pusat pada 15-16 September pula.

Pada 13 September 2025 di tempat yang berbeza; Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat akan diadakan di Darul Hadis, Kampung Tok Keling, Alor Setar, Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat pula akan diadakan pada tarikh yang sama di Gandhi Hall, Sungai Petani manakala Konvensyen Sidang As-Sabiqun PAS Pusat masih belum dimuktamadkan lokasinya.

Kedah Tuan Rumah Kali Keenam

Sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951, Kedah telah menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS sebanyak enam kali termasuk tahun ini. Kali pertamanya adalah Muktamar Tahunan PAS Kali ke-10 yang berlangsung pada 5 dan 6 Januari 1962 di Bangunan Persatuan Guru-guru Melayu Kedah, Sungai Korok, Alor Setar, Kedah. Pada ketika itu, PAS Kedah telah dipimpin oleh Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi atau lebih terkenal dengan panggilan Lebai Pak Man Bukit Besar. Beliau adalah tokoh PAS terulung di Kedah pada peringkat awal penubuhan PAS Kedah dan merupakan Mudir Madrasah an-Nahdhah.

Kali Kedua PAS Kedah dipilih sebagai Tuan Rumah adalah pada Muktamar Tahunan PAS Kali ke-30 yang diadakan pada 13 hingga 15 April 1984 bertempat di Dewan Persatuan India Kedah (KIA), Alor Setar, Kedah. Pesuruhjaya PAS Kedah pada ketika ini adalah almarhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil bin Mohd Noor. Dalam masa yang sama juga, almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Noor adalah merupakan Naib Yang Dipertua PAS di peringkat PAS Pusat.

Bermula tahun 2006, PAS Kedah mula melaksanakan muktamar di premis milik parti iaitu di Kompleks PAS Kedah setelah dewan kompleks berjaya disiapkan . Muktamar Tahunan PAS Kali ke-52 telah diadakan di Dewan Dato’ Fadzil Noor di Kompleks PAS Kedah pada 7 hingga 9 Jun 2006. Ketika itu, PAS adalah merupakan Pemerintah di Kedah dan Pesuruhjaya PAS Kedah ketika itu adalah almarhum Tan Sri Dato' Seri Diraja Ustaz Haji Azizan bin Abdul Razak yang juga merupakan Menteri Besar negeri Kedah.

PAS Kedah sekali lagi telah dipilih selaku Tuan Rumah pada tahun 2017. Muktamar Tahunan PAS Kali ke-63 ini diadakan pada 30 April sehingga 1 Mei 2017 dan ianya diadakan selepas berakhirnya kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat dan bermulanya gabungan Gagasan Sejahtera. Pesuruhjaya PAS Kedah pada waktu ini adalah Dr Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi yang kini adalah merupakan Ahli Parlimen Kuala Kedah dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Muktamar Tahunan PAS Kali ke-68 adalah merupakan kali kedua muktamar diadakan semasa PAS memerintah negeri Kedah. Ia diadakan pada 31 Ogos sehingga 4 September 2022 selama lima hari dan Muktamar ini berlangsung ketika PAS juga menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan melalui Perikatan Nasional.

Tahun ini, Muktamar Tahunan PAS kembali lagi ke negeri Kedah dengan Muktamar kali ini diadakan ketika PAS terus memegang tampuk pemerintahan di negeri Kedah dan memainkan peranan penting di peringkat nasional. Ia dijangka menjadi medan utama untuk memperkemaskan hala tuju perjuangan menjelang PRU-16, memperkukuhkan pentadbiran negeri dan menyusun semula strategi mendekati masyarakat pelbagai lapisan.

Menjelang Muktamar ke-71: Harapan dan Tanggungjawab

Muktamar Tahunan PAS bukan sekadar perhimpunan pentadbiran. Ia adalah medan muhasabah, medan ukhuwwah, medan ijtihad politik dan pentas besar penyatuan fikrah. Dengan landskap politik negara yang semakin dinamik, Muktamar ke-71 ini menjadi peluang terbaik untuk PAS memperkukuh dasar-dasar perjuangan, memperluas jaringan dakwah serta memperkukuhkan kesatuan saf di semua peringkat.

Kedah, sekali lagi, memikul amanah besar ini dengan penuh iltizam dan keazaman. Sebagaimana semangat para pejuang terdahulu, muktamar kali ini diharapkan menjadi obor yang menerangi perjalanan perjuangan Islam untuk dekad mendatang.

KFAK

Ulasan