BATALKAN PERLAKSANAAN SST: KERAJAAN JANGAN BEBANKAN RAKYAT!


KENYATAAN MEDIA
KETUA DEWAN HIMPUNAN PENDUKUNG PAS (DHPP) PUSAT
ENCIK BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN
18 JUN 2025

BATALKAN PERLAKSANAAN SST: KERAJAAN JANGAN BEBANKAN RAKYAT!

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak kerajaan baru-baru ini yang memberi isyarat jelas bahawa pelaksanaan semula dan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan terus dilaksanakan dalam masa terdekat, termasuklah cukai ke atas barangan keperluan seperti makanan dan minuman, serta perluasan perkhidmatan digital dan logistik.

Sebagai Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, saya ingin menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan ini, yang jelas akan menghakis pendapatan boleh guna rakyat dan memburukkan lagi keadaan kos sara hidup yang sedang menghimpit.

Rakyat dari semua latar belakang sudah cukup terbeban dengan pelbagai tekanan ekonomi:

a. Harga barangan yang tidak menurun walaupun pelbagai janji ditabur.

b. Pelarasan subsidi diesel yang menjejaskan perniagaan kecil, pengusaha logistik dan pengangkutan.

c. Kadar inflasi yang terus menekan walaupun kerajaan mendakwa ekonomi sedang “pulih”.

Pelaksanaan SST yang diperluas ini tidak mengambil kira realiti kehidupan rakyat. Ia tidak hanya menjejaskan golongan B40, bahkan juga M40 yang kini turut terjerumus dalam “kelas miskin bandar”.

Saya juga kecewa dengan sikap kerajaan yang dilihat lebih cenderung mencari hasil cukai daripada membetulkan ketirisan, pembaziran dan rasuah dalam pentadbiran. Sepatutnya kerajaan menumpukan usaha kepada:

a. Mengurangkan saiz kabinet yang membazir.

b. Mengurangkan ketirisan dana awam.

c. Menghapuskan lantikan politik yang tidak produktif.

DHPP berpandangan bahawa langkah menaikkan atau mengenakan cukai tambahan kepada rakyat pada saat ekonomi belum stabil adalah tidak bermoral dan tidak prihatin. Ia memberi gambaran bahawa kerajaan gagal mencari jalan penyelesaian yang lebih kreatif dan adil.

Oleh itu, DHPP dengan ini menyeru:

1. Kerajaan membatalkan serta-merta rancangan perluasan SST.

2. Mengembalikan semula subsidi yang penting untuk rakyat marhaen.

3. Mengutamakan reformasi struktur ekonomi berasaskan keadilan sosial dan pengagihan kekayaan yang saksama.

Kami ingin menegaskan bahawa DHPP berdiri teguh bersama rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dalam menolak dasar yang menindas dan membebankan. Suara rakyat mesti didengar, bukan ditekan dengan dasar cukai yang menyesakkan.

Sekian, terima kasih.

“PAS untuk Semua,”

Encik Balasubramaniam a/l Nachiappan, JP
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat
18 Jun 2025

Ulasan