LANGKAH KAJANG 2.0: ADAKAH SEJARAH MUNGKIN BERULANG?
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
1. Isu pertukaran kepimpinan di Selangor kembali menjadi perhatian apabila muncul desas-desus bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah diperkatakan bakal menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor sekaligus mencetuskan perbincangan hangat tentang kebarangkalian wujudnya semula strategi politik mirip “Langkah Kajang” pada 2014 yang kini digelar sebagai “Langkah Kajang 2.0”.
2. Secara umumnya, kedudukan Amirudin Shari masih kukuh di Selangor, hampir tidak kedengaran spekulasi bahawa kedudukan beliau selaku Menteri Besar Selangor perlu ditukarkan kepada orang lain. Malah, menjelang pertengahan 2025, PH Selangor yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAN telah mengeluarkan kenyataan tegas menyatakan sokongan penuh terhadap Amirudin untuk terus kekal sebagai Menteri Besar dengan menekankan bahawa kepimpinan beliau amat diperlukan bagi menjamin kestabilan negeri serta memastikan keberhasilan agenda Malaysia Madani yang diterajui PMX.
3. Spekulasi mengenai perubahan tampuk kepimpinan negeri semakin hangat susulan tindakan Tengku Zafrul keluar daripada UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR. Langkah ini dilihat sebagai isyarat kepada perancangan lebih besar iaitu bagi membolehkan beliau bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan seterusnya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai salah satu syarat wajib untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
4. Menurut Perlembagaan Negeri Selangor, calon Menteri Besar mestilah berbangsa Melayu, beragama Islam, warganegara Malaysia dan yang paling penting; seorang ADUN yang mendapat kepercayaan majoriti. Zafrul memenuhi kesemua syarat tersebut kecuali status sebagai ADUN dan keahliannya dalam PKR juga belum dimuktamadkan.
5. Amirudin sendiri telah menepis khabar angin tersebut dan menegaskan bahawa beliau kekal komited menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sehingga tamat penggal pada 2028. Dalam satu majlis di Selayang, beliau berkongsi bahawa ketika bertemu Zafrul sebelum keberangkatan menteri itu ke Mekah, beliau hanya meminta agar Zafrul mendoakan beliau kekal menerajui Selangor.
6. Ketika ditanya tentang kemungkinan menyertai kabinet persekutuan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, Amirudin menjawab dengan diplomasi bahawa ia bergantung kepada keperluan dan perbincangan akan datang, malah beliau tidak menjangkakan sebarang PRK akan berlaku dalam tempoh dua tahun terakhir penggal pentadbiran sekarang.
7. Kemungkinan sejarah bakal berulang kembali. Bila bercakap tentang Langkah Kajang, ia adalah strategi yang pernah dilakukan oleh PKR untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim dengan sebagai Menteri Besar namun langkah tersebut gagal untuk mencapai matlamat asalnya. Sekiranya Langkah Kajang 2.0 menjadi kenyataan tanpa ada asas yang kukuh kenapa ia perlu dilaksanakan, kebimbangan adalah ia akan mengulangi episod manipulasi politik yang dianggap membazirkan masa, tenaga dan wang rakyat.
KFAK
1 Jun 2025
Ulasan
Catat Ulasan