DUNIA BLOG YANG SEMAKIN DITELAN ZAMAN


DUNIA BLOG YANG SEMAKIN DITELAN ZAMAN

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 20 tahun dalam dunia blog

Masih ingat lagi zaman blog dulu-dulu? Zaman di mana orang berlumba-lumba buka blog, tukar template, pasang shoutbox dan tulis panjang-panjang tentang apa saja dari cerita kehidupan harian, ulasan politik, sampai luahan perasaan yang tak mampu dikongsi dengan orang sekeliling.

Blog dulu ibarat diari digital. Setiap entri penuh emosi, penuh cerita dan ada juga yang penuh hujah dan fakta. Waktu tu, siapa ada blog yang ramai pembaca, dialah raja. Ramai penulis blog jadi popular, malah ada yang diundang ke TV dan forum kerana tulisan mereka. Pendek kata, blog pernah jadi "the real influencer".

Tapi hari ini, semuanya berubah. Blog makin sunyi. Banyak blog lama dah tak bernafas. Semalam saya cuba jengok-jengok blog kawan-kawan lama. Ada yang 'update terakhir: 2016, 2019 dan 2020'. Ada yang lenyap terus, entah ke mana. Dunia blog perlahan-lahan ditelan oleh arus media sosial yang serba pantas.

Sekarang orang lebih suka ‘scroll’ TikTok, ‘swipe’ Instagram Reels atau baca thread Twitter (eh, X) yang ringkas-ringkas. Kalau boleh, 30 saat pun dah cukup. Tak sempat nak baca perenggan panjang, apatah lagi satu artikel penuh. Dunia semakin laju dan kita pun ikut laju sampai nak membaca pun kena yang 'bite-sized'.

Adakah ini petanda zaman membaca tulisan panjang dah berakhir? Mungkin tidak sepenuhnya. Tapi realitinya, budaya blog memang makin tenggelam. Bukan sebab tak ada orang nak tulis, tapi sebab makin kurang orang yang nak baca.

Walaupun begitu, blog masih ada nilainya. Ia masih jadi tempat simpanan pemikiran yang tersusun, jurnal hidup yang boleh dikenang semula dan ruang untuk menulis dengan lebih mendalam. Masih ada pembaca yang mencari sesuatu yang lebih daripada sekadar hiburan ringan.

Saya masih kekal sebagai seorang Blogger sejak 2005, masih terus menulis dan masih memanfaatkan blog saya walaupun saya terus aktif di Facebook. Malah, blog saya khairulfaizi.com.my masih terus mendapat kunjungan pembaca. Minggu terakhir ini sahaja masih mencecah 6,300 posting yang dibaca!

Jadi, jangan cepat mengalah. Kalau kita rasa nak tulis blog, tulislah. Tak kisah berapa ramai yang baca. Kadang-kadang, menulis tu bukan sebab nak viral, tapi sebab nak luahkan sesuatu yang bermakna, untuk diri sendiri dan siapa tahu, untuk manfaat orang lain juga.

Mungkin dunia blog tak serancak dulu, tapi ia belum pupus. Ia cuma sedang berehat, menunggu generasi baru yang akan menghidupkannya semula dengan gaya mereka sendiri.

KFAK

https://dppnjohor.blogspot.com/ - blog pertama; 2005
https://minda-kembara.blogspot.com/ - blog kedua ; 2007
https://mindakembara.com - 2008 ; blog ketiga kena godam
https://khairulfaizi73.blogspot.com - 2011 ; blog keempat tetapi telah menggunakan beberapa url ; https://khairulfaizi.com, www.khairulfaizi.net dan yang terkini adalah www.khairulfaizi.com.my

Ulasan

Catat Ulasan