MASANYA TELAH TIBA : PMX PERLU DISIASAT DAN DIKENAKAN TINDAKAN SEWAJARNYA



MASANYA TELAH TIBA : PMX PERLU DISIASAT DAN DIKENAKAN TINDAKAN SEWAJARNYA

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Situasi politik negara memasuki fasa yang semakin kritikal apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berdepan desakan pelbagai pihak agar disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pelantikan Ketua Hakim Negara. Isu ini bukan sekadar satu pertikaian politik, tetapi melibatkan asas utama negara; keutuhan dan kebebasan institusi kehakiman.

Kemunculan semula Datuk Ezam Mohd Nor, bekas sekutu rapat Anwar dan mantan pemimpin PKR, dalam isu ini menambah dimensi yang signifikan. Bersama pimpinan NGO seperti UMMAH, PERKASA dan GAMIS, mereka telah membuat laporan polis yang mendakwa wujudnya campur tangan Perdana Menteri dalam kes sivil yang sedang dihadapinya, kes yang telah beberapa kali ditangguhkan perbicaraannya.

Walaupun tuduhan itu masih berbentuk dakwaan, keprihatinan yang dibawa Ezam tidak boleh disisihkan begitu sahaja. Beliau mengingatkan bahawa Anwar pernah disabitkan kesalahan salah guna kuasa ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dahulu. Maka, sejarah silam itu menjadikan dakwaan kali ini bukan sesuatu yang remeh malah mengundang keperluan tindakan segera.

Lebih menarik perhatian, sembilan Ahli Parlimen PKR sendiri diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut menyuarakan desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan. Walaupun mereka tidak secara eksplisit menuduh Anwar, tetapi kenyataan bersama itu cukup untuk menggambarkan keresahan dalaman yang sedang berlaku dalam kalangan penyokong terdekat Perdana Menteri sendiri.

Namun, bagi bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim, cadangan RCI tidak membawa harapan besar. Beliau melihat RCI sebagai instrumen politik yang sering gagal dalam menunaikan tujuannya. Baginya, langkah lebih berkesan adalah dengan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen, satu bentuk tekanan institusional yang lebih jelas dan demokratik.

Pandangan Zaid ini disambut oleh Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid Ali, yang secara terbuka menyatakan bahawa Anwar adalah punca utama kepada masalah ini. Menurutnya, penyelesaian kepada krisis ini hanyalah satu: Anwar harus meletakkan jawatan. Beliau juga mempersoalkan sama ada Rafizi dan rakan-rakannya berani untuk mengambil pendirian sedemikian.

Malah, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, turut menggesa agar Anwar segera kembali ke tanah air bagi memberi penjelasan secara rasmi di Parlimen. Beliau menegaskan bahawa dakwaan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan cabang utama pentadbiran negara, iaitu institusi kehakiman.

Secara keseluruhan, kemelut ini telah menjejaskan kepercayaan awam terhadap kebebasan badan kehakiman dan integriti kepimpinan kerajaan. Dalam sistem demokrasi yang matang, mana-mana pemimpin hatta seorang Perdana Menteri tidak boleh dibiarkan beroperasi di bawah bayang-bayang dakwaan serius tanpa siasatan yang telus dan berwibawa.

Justeru adalah perlu bagi berhadapan dengan isu ini;

1. Siasatan bebas perlu segera dimulakan oleh pihak berkuasa, tanpa campur tangan eksekutif.

2. Perdana Menteri wajar digantung sementara daripada menjalankan tugas, demi menjaga integriti institusi dan memberi ruang kepada proses siasatan.

3. Parlimen perlu menggerakkan mekanisme demokrasi seperti usul undi percaya atau tidak percaya untuk menentukan kesahan moral dan politik seseorang pemimpin.

Prinsip asas dalam demokrasi adalah bahawa tiada siapa yang mengatasi undang-undang. Jika benar Perdana Menteri tidak bersalah, beliau seharusnya bersedia untuk disiasat secara terbuka, dan membenarkan sistem kehakiman yang bebas dan adil membuat keputusan. Tetapi jika wujud cubaan menyembunyikan kebenaran di sebalik kuasa politik, maka negara akan terus terperangkap dalam krisis kepercayaan yang semakin parah.

Kini masa untuk bertindak, bukannya untuk berdalih.

KFAK

Ulasan