SEKOLAH BUKAN TEMPAT UNTUK NORMALISASI ARAK

SEKOLAH BUKAN TEMPAT UNTUK NORMALISASI ARAK

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Negara dikejutkan dengan tularnya satu rakaman video berkenaan insiden pergaduhan sehingga kejadian melempar kerusi dalam sesi lelongan arak di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Pontian, Johor. Majlis tersebut diadakan di dalam kawasan sekolah, dipercayai sebagai acara pengumpulan dana dan dihadiri oleh orang dewasa yang secara terbuka minum arak di ruang yang lazimnya digunakan untuk mendidik anak-anak kecil. Ia menimbulkan kegusaran ramai pihak, termasuk saya.

Isu aktiviti melibatkan arak ini sebenarnya bukan yang pertama. Tahun lalu, satu insiden yang hampir sama berlaku di Sepang, Selangor, dan mencetuskan perdebatan hangat sehingga menyeret polemik tersebut ke dalam kancah politik nasional. Ketika itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, lantang mengkritik Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, hanya kerana beliau mengambil sikap berhati-hati dalam isu berkaitan program kutipan dana sekolah yang melibatkan arak. Malah Guan Eng mendakwa menteri tersebut "mengikut telunjuk PAS" dan mengingatkan beliau agar "tidak menjadi menteri pendidikan PAS."

Kenyataan sebegini, pada hemat saya, sangat malang. Ia menunjukkan bahawa ada dalam kalangan pemimpin negara yang lebih memilih untuk mempolitikkan isu nilai dan moral pendidikan demi mempertahankan keutamaan kelompok tertentu, tanpa mengambil kira sentimen majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam dan sangat menolak sebarang unsur arak di ruang pendidikan.

Persoalan pokoknya bukan tentang siapa yang anjur atau untuk siapa dana dikutip. Persoalannya ialah: Apakah kita bersedia membiarkan sekolah institusi yang membentuk akhlak dan masa depan anak-anak terpalit dengan budaya minum arak, hanya kerana mahu mengumpul dana?

Bagi saya, prinsip ini mesti jelas: sekolah adalah tempat untuk mendidik, bukan tempat normalisasi arak. Sekalipun aktiviti itu berlaku di luar waktu persekolahan dan melibatkan orang dewasa, ia tetap mencemarkan imej sekolah serta memberi mesej yang sangat berbahaya kepada pelajar-pelajar yang melihat dan mendengar tentangnya.

Saya menyeru agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan sahaja menyiasat insiden ini dengan serius, tetapi juga menggubal satu garis panduan nasional yang mengharamkan penggunaan premis sekolah untuk sebarang majlis yang melibatkan arak, judi atau unsur tidak bermoral yang lain. Dana pendidikan boleh dan mesti dikumpulkan tetapi bukan dengan cara yang mencemarkan nilai murni masyarakat.

Sekolah bukan hak milik satu kaum atau satu komuniti sahaja. Ia adalah milik bersama rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar agama dan budaya. Maka, penganjuran apa-apa program di sekolah perlu menghormati sensitiviti agama dan nilai moral sejagat, bukan tunduk kepada tekanan politik atau kelompok tertentu.

Marilah kita pertahankan maruah pendidikan negara ini. Jangan biarkan anak-anak kita terbiasa melihat arak diraikan di tempat mereka belajar. Hentikan apa jua aktiviti yang melibatkan arak di sekolah.

Adalah amat wajar Menteri Pendidikan Malaysia meletakkan jawatan sekiranya tidak mampu menyelesaikan isu ini yang masih terus berulang.

KFAK

Ulasan