
10 tahun PAN: PAS istiqamah, tak ubah haluan perjuangan
September 29, 2025
KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk PAS dikaitkan dengan ulang tahun ke-10 penubuhan PAN kerana PAS bukan ditubuhkan pada 2015, sebaliknya parti itu sudah wujud sejak 1951 dan bakal meraikan Jubli Intan 75 tahun pada tahun hadapan.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, walaupun PAN akan menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya, ada pihak cuba menulis mengenai PAS yang kononnya mengubah haluan dalam tempoh tersebut.
“Tak apalah, itu hak masing-masing untuk mencurahkan apa yang ada di dalam minda mereka. Mereka boleh menulis, kita juga mampu menulis. (Ia) walaupun PAS tidak sambut pun ulang tahun ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor membidas kenyataan Zin Mahmud dalam sebuah akhbar tempatan bertajuk ‘Ulang tahun ke-10 PAS ubah haluan’ dalam kenyataan.
Menurut Khairul, ramai juga menjangkakan pengaruh PAS akan merosot apabila pasukan yang tewas dalam pemilihan PAS Pusat keluar parti dan menubuhkan parti baharu.
“Malah ada yang menjangkakan bahawa PAS akan kehilangan negeri Kelantan semasa PRU (Pilihan Raya Umum) tahun 2018, namun takdir Allah PAS berjaya menambahkan satu lagi negeri iaitu Terengganu ketika bersama Gagasan Sejahtera.
“Malah PAS terus memperkukuhkan kedudukan apabila berjaya menawan Kedah dan Perlis bersama Perikatan Nasional,” jelasnya yang juga Pengarah Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia).
Beliau berkata, walaupun PAS di peringkat negeri terjejas akibat keputusan kepimpinan semasa meninggalkan perjuangan seperti yang berlaku di Johor, namun semuanya berjaya diatasi dan PAS terus bergerak ke hadapan.
Khairul berkata, jumlah ahli PAS dalam tempoh sembilan tahun bermula Januari 2016 hingga Disember 2024 bertambah seramai 278,851 orang, sekali gus membuktikan sokongan terhadap parti terus meningkat.
“PAS tidak segan untuk mengisytiharkan jumlah ahli baharunya walaupun adakalanya jumlahnya rendah, tetapi permohonan untuk sertai PAS terus meningkat, alhamdulillah,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2025
Ulasan
Catat Ulasan