Berita : Kenaikan harga gula beri kesan rantaian

Kenaikan harga gula beri kesan rantaian - Fomca - Harakahdaily
Rizal Tahir

KOTA BAHRU, 10 Mei: Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen dikhuatiri akan memberi kesan rantaian kepada kenaikan pada harga barang keperluan yang lain.

Timbalan Presiden Fomca Malaysia, Haji Ahmad Othman berkata, pihaknya bimbang kesan kenaikan harga gula akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang lain.

Namun begitu, beliau lebih bimbang dengan bekalan yang kurang berbanding dengan kenaikan harga.

Kerajaan telah menaikkan harga gula sebanyak 20 sen mulai hari ini. Menurut kerajaan, kenaikan itu sebahagian daripada langkah rasionalisasi, yang akan membolehkan kerajaan menjimatkan RM116.6 juta.

Minggu lalu, harga petrol RON97 mengalami kenaikan 20 sen seliter.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberikan masa sebulan untuk kerajaan mengurangkan harga barangan khasnya yang diimport ekoran kenaikan nilai ringgit berbanding dollar Amerika.

Nilai ringgit naik kepada bawah RM3.00 untuk satu dollar Amerika minggu lalu iaitu kenaikan tertinggi sejak diikat pada kadar RM3.60 untuk satu dollar Amerika sebelum ini.

Bagi Setiausaga Agung DAP itu, jika nilai ringgit naik beerti harga barangan yang dimport akan turun. Ia termasuklah gula dan petrol kerana Malaysia menggunakan petrol yang diimport kerana minyak yang dikeluarkan berkualiti tinggi dan sesuai untuk dieksport.

Namun, harga barangan bukannya turun ekoran kenaikan nilai ringgit bahkan dinaikkan lagi oleh kerajaan.

Manakala itu, sesetengah pihak pula yakin tindakan pembekal gula mengurangkan bekalan bertujuan memaksa kerajaan agar bersetuju dengan tuntutan mereka untuk menaikkan harga.

Ekoran itu, ada yang kesal dengan kegagalan kerajaan menguatkan kuasakan undang-undang dan memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi.

“Gula naik 20 sen ni memang sepatutnya sebab bekalan di pasaran agak kurang.

“Tetapi pihak saya bimbang harga barang lain turut akan naik kesan dari kenaikan harga gula ini,” kata Ahmad sewaktu dihubungi.

Tambahnya, dari maklumat dari pihaknya dapat, rakyat mahu bekalan gula di pasaran sentiasa ada walaupun mengalami kenaikan harga.

Ekoran tekanan kekurangan bekalan di pasaran menyebabkan rakyat pasrah dan menerima kenaikan harga asalkan ia ada di pasaran.

Ia diakui sendiri oleh Haji Ahmad dalam kenyataannya, “Rakyat tak kisah sangat harga gula naik 20 sen ni asalkan bekalan gula setiasa ada di pasaran.”

Ulasan