Pilihan Raya Singapura 2011 : Lee Kuan Yew Telah Meramalkan Perubahan

Pilihan raya Singapura Menjadi Tumpuan

7 Mei 2011 adalah merupakan tarikh yang akan sentiasa diingat oleh warga Singapura sebagai satu tarikh titik perubahan kepada politik Singapura. Keputusan yang menunjukkan semakin menurunnya sokongan rakyat Singapura kepada parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (People's Action Party - PAP) yang memerintah Singapura sejak tahun 1959 sudah tentu memberikan isyarat yang penting kepada PAP bahawa rakyat mahukan perubahan.

Walaupun PAP hanya kehilangan enam kerusi Parlimen daripada keseluruhan 87 kerusi namun sokongan terhadap PAP telah menurun sebanyak 6.36% undian berbanding dengan pilihan raya yang diadakan pada tahun 2006. PAP mendapat 60.14% undi yang membawa makna hampir 40% pengundi di Singapura menolak pemerintah yang sedia ada.

Bukan itu sahaja, PAP juga telah kehilangan Kawasan Perwakilan Berkumpulan Aljunied kepada Parti Buruh Singapura, iaitu kali pertama sebuah Kawasan Perwakilan Berkumpulan dimenangi oleh parti pembangkang. Termasuk juga Kawasan Ahli Tunggal Hougang, Parti Buruh mendapat enam kerusi di parlimen, iaitu keputusan parlimen terbaik buat parti pembangkang sejak kemerdekaan.

Keputusan ini, sudah tentu dilihat sebagai ‘wake up call’ kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang tidak boleh memandang ringan terhadap tuntutan perubahan yang rakyat Singapura mahukan.

Sebab itu, di dalam ucapan awalnya selepas keputusan pilihanraya diumumkan, PM Singapura menyatakan bahawa penumpuan pemerintah adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Ini kerana ramai pengundi berharap kerajaan menyusun semula dasar agar sesuai dengan iklim politik yang baru. Hsien Loong juga menyedari bahawa pilihan raya kali ini membolehkan bidang politik di Singapura memasuki era baru dan daya saing mekanisme politiknya lebih tinggi. Baki enam kerusi yang tidak berjaya dimenangi oleh PAP telah berjaya ditakluki oleh Parti Pekerja.

Kenapa Berlakunya perubahan?


Seperti mana yang kita ketahui, Singapura adalah merupakan sebuah negara yang asalnya bersama Malaysia apabila pada 16 September 1963, British bersetuju untuk menyerahkan Singapura, Sabah, dan Sarawak untuk bergabung dengan Tanah Melayu supaya Persekutuan Malaysia dapat dibentuk. Namun hubungan Singapura dengan Malaysia tidak lama apabila pada 6 Ogos 1965 Singapura telah keluar daripada Malaysia.

Hari ini, Singapura adalah sebuah negara republik berparlimen yang mengamalkan parlimen ekadewan berlandaskan sistem Westminster, yang mewakili pelbagai kawasan pemilihan. Perlembagaan Singapura menetapkan demokrasi berperwakilan sebagai sistem politik negara. Parti Tindakan Rakyat atau PAP berjaya menguasai Parlimen di setiap pilihan raya sejak negara mula memerintah sendiri pada tahun 1959.

Pilihan raya parlimen di Singapura berlandaskan pluraliti untuk kawasan pemilihan perwakilan berkumpulan sejak pindaan Akta Pilihan Raya Parlimen pada tahun 1991. Ahli-Ahli Parlimen (MP) terdiri daripada ahli-ahli yang terpilih, tanpa kawasan undi dan dicalon. Majoriti MP ini dipilih menerusi Pilihan Raya Umum berasaskan sistem pemenang undi terbanyak, dan mewakili Kawasan Ahli Tunggal (Single Member Constituencies, SMC) atau Perwakilan Berkumpulan (Group Representation Constituencies, GRC).

Rakyat menuntut perubahan di Singapura dan ini menjadi persoalan yang cukup penting untuk kita sebagai rakyat Malaysia membuat penilaian dan ukuran;

  1. Singapura terkenal sebagai sebuah negara yang maju,
  2. Singapura ialah pusat kewangan keempat terunggul di dunia,
  3. Singapura adalah sebuah Bandaraya global metropolitan yang memainkan peranan penting dalam perdagangan dan kewangan antarabangsa,
  4. Singapura mempunyai pelabuhan yang dikatakan kelima tersibuk di dunia,
  5. Economist Intelligence Unit meletakkan Singapura sebagai negara yang mempunyai kualiti hidup terbaik di Asia dan kesebelas terbaik di seluruh dunia dalam senarai "Quality-Of-Life Index".
  6. Singapura memiliki rizab pertukaran asing kesembilan terbesar di dunia.
  7. Badan Ketelusan Antarabangsa (Transparency International, TI) pula mengiktiraf Singapura sebagai negeri yang hampir-hampir bebas rasuah dengan indeks 9.3 pada tahun 2010 berkongsi tempat pertama dengan Denmark dan new Zealand sedangkan Malaysia berada di dalam kedudukan ke 56 dengan indeks 4.4.

Jika kita menilai dan menghayati pencapaian Singapura ini maka sudah tentu rakyat akan memberikan sokongan padu kepada PAP namun ia tidak seperti yang dijangkakan. Persoalannya, apakah kemerosotan PAP di Singapura adalah merupakan satu kebetulan?

Lee Kuan Yew telah meramalkan perubahan



Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew yang telah menang tanpa bertanding di dalam Pilihan Raya Singapura baru-baru telah menghasilkan sebuah buku yang bertajuk “Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going” telah pun meramalkan bahawa PAP akan jatuh sekiranya mutu parti menurun ataupun pembangkang menjadi lebih baik.

Beliau telah mengambil contoh Parti Liberal Demokratik di Jepun yang telah bermula lebih awal daripada PAP di Singapura tetapi telah ditumbangkan kerana kerana meneruskan dengan idea-idea lama yang sudah tidak dapat diterima oleh rakyat Jepun ketika ini. Beliau juga mengingatkan bahawa tidak ada sistem yang dapat terus bertahan dalam sesuatu pemerintahan dan ia telah terkesan di Jepun dan ketika ini telah pun dilihat memberikan kesan kepada Pilihan Raya Singapura. Mungkin, disebabkan pandangannya itulah maka beliau tidak melahirkan rasa terkejut apabila rakyat Singapura mahukan perubahan.

Kesan terhadap perkembangan politik di Malaysia.


Keberanian, kesungguhan dan keyakinan rakyat Singapura untuk melakukan perubahan susah tentu memberikan kesan kepada Malaysia secara tidak langsung. PAP yang dilihat sebagai sebuah parti yang ‘kebal’ dan bersifat autokratik dalam pemerintahannya semakin di tolak oleh rakyat sehingga hampir 40% rakyat Singapura tidak memberikan undian kepada PAP dalam Pilihan Raya Singapura baru-baru ini.

Seperti yang telah saya nyatakan tadi bahawa Singapura adalah sebuah negara yang maju, negara yang mempunyai kualiti hidup yang baik dan negara yang hampir-hampir tiada rasuah dalam pengamalan pentadbiran kerajaan. Namun, di sebalik itu rakyat masih lagi merasakan bahawa PAP perlu diturunkan daripada takhta pemerintahan kerana tempoh pemerintahan PAP telah cukup lama dan perlu ada pemerintah yang lain menerajui kerajaan Singapura dan terbukti pakatan pembangkang di Singapura berjaya ‘mencuri’ hampir 40% undi daripada rakyat dan tidak mustahil pilihan raya yang akan datang PAP terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada kerusi-kerusi empuk yang telah mereka kuasai sejak tahun 1965.

Kata-kata menarik yang telah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha parti Pekerja bahawa republik Singapura adalah merupakan rumah kepada rakyat. Rakyat Singapura memerlukan kerajaan yang lebih demokratik, mantap, bertanggungjawab, inklusif dan telus.

Saya percaya, ia adalah petanda positif kepada pakatan pembangkang di Malaysia. Kesan perubahan politik di Singapura juga telah dikongsi oleh pemimpin BN di Johor seperti mana yang disiarkan oleh Sinar Harian Edisi Johor kenyataan dua ADUN BN yang memberikan ulasan terhadap perkembangan Pilihan Raya di Singapura.

ADUN Johor Jaya, YB Tan Cher Puk menyatakan bahawa mungkin telah menjadi aliran sekarang ini, rata-rata penduduk seluruh dunia mahukan demokrasi yang lebih adil dan bebas, rakyat Singapura juga tidak terlepas dari bahang yang melanda dunia ini. Beliau juga menyebut bahawa PAP yang memerintah Singapura juga terpaksa akur dengan perubahan dan kehendak dunia yang telah mempamerkan pendekatan yang lebih demokratik dan lebih telus berbanding pilihan raya umum sebelum ini.

ADUN Sedili, YB Rasman Ithnain percaya bahawa cabaran politik sebegini berlaku di seluruh dunia bukan sahaja di Singapura dan mengingatkan pemimpin Singapura bahawa lambat atau cepat peralihan kuasa tetap akan berlaku, cuma masa yang akan tentukan.

Kenyataan kedua-dua ADUN ini saya percaya sebenarnya memberikan satu gambaran bahawa perubahan kepada kerajaan adalah sesuatu yang lumrah. Walaupun ia ditujukan kepada Singapura tetapi ia juga secara tidak langsung merujuk kepada pemerintah di Malaysia.

Sebab itu, saya percaya bahawa kesan perubahan rakyat di Singapura tidak begitu disenangi oleh pemimpin UMNO/BN yang secara tidak langsung terkesan dengan perubahan ini. Perubahan di Singapura tidak jauh bezanya dengan kehendak rakyat di Johor yang berjiran dengan Singapura. BN kehilangan enam kerusi DUN di Johor manakala PAP kehilangan enam kerus Parlimen di Singapura. Di Sarawak, BN kehilangan 16 kerusi DUN dan ia adalah merupakan rekod terbaik pakatan pembangkang di Sarawak sejak daripada tertubuhnya Persekutuan Malaysia.

Jika perkembangan politik di Singapura dan di Sarawak di ambil kira maka saya percaya Pilihan raya Umum ke 13 yang akan berlangsung di Malaysia tidak lama lagi juga bakal memberikan keputusan yang luar biasa. Oleh itu, kerja kuat daripada semua pihak daripada pimpinan dan petugas perlu dilipat gandakan dengan kadar yang lebih luar biasa. Lebih-lebih lagi, DS Najib Razak telah berikrar bahawa mereka akan mempertahankan dengan apa saja cara sekalipun.

Terus berjuang!

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat.
9 Mei 2011

Ulasan