Ke mana Perginya Aku...?

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Akhir-akhir ini sudah mula terasa 'malas' untuk mengisi ruang waktu yang ada untuk menitip pandangan dan pendapat dalam blog saya ini. Bukan kerana 'malas' dalam erti kata yang malas sebenar tetapi 'malas' yang disebabkan terlalu banyak perkara yang perlu didahulukan dan diberikan kepentingan terhadap perkara tersebut.

Perbagai peristiwa yang berlaku dalam tempoh dua minggu terakhir dan yang paling menggemparkan adalah berkaitan dengan himpunan pembersihan pilihanraya oleh satu kumpulan yang dipanggil BERSIH 2.0.

Berbeza dengan BERSIH yang pertama, saya telah memuatnaikkan (upload) ke dalam blog saya yang telah ditinggalkan dalam sejarah iaitu blog www.minda-kembara.com yang mana pada ketika itu tulisan saya yang bertajuk "Daripada Pasar Budaya Ke Istana Negara" telah mendapat tempat di dalam pelbagai blog dan akhibar termasuklah dalam sebuah buku yang dicetak oleh Ustaz Riduan Mohamad Noor. Kali ini, nampaknya semacam tidak berupaya untuk saya tunaikan harapan Ustaz Riduan walaupun beliau telah menghantar pesanan ke dalam ruangan mesej dalam facebook saya supaya segera menyiapkan artikel tersebut kerana sebuah buku mahu diterbitkan oleh Jundi Resources.

Ada juga yang bertanya kenapa perlu ada 2.0 di hujung BERSIH. Saya tidak ada jawapan yang tepat tetapi saya mengagak bahawa ia bagi melambangkan bahawa himpunan ini adalah himpunan yang kedua sejak ia kali pertama diadakan pada bulan November 2007. Bila diletakkan 2.0 saya lebih suka membawa pembaca semua kepada sebuah cerita aksi Die Hard 4.0 yang dilakonkan oleh pelakon hebat yang masih hidup walaupun terjun daripada bangunan ataupun pelbagai aksi yang mengerikan iaitu Bruce Willis. Filem ini tidak dimulakan dengan tajuk Die Hard 1.0, 2.0 dan 3.0 tetapi disambung dengan filem yang keempat dengan tajuk Die Hard 4.0. Barangkali, ia sekadar gimik untuk menarik penonton ke pawagam.

Sama jugalah jawapan saya kenapa BERSIH menamakan mereka sebagai BERSIH 2.0. Namun, bagi saya ia tidaklah terlalu penting daripada membicarakan tentang apa yang diperjuangkan oleh BERSIH.

Apa yang BERSIH perjuangkan?

Pertamanya, saya ingin menjelaskan bahawa BERSIH bukan pertubuhan HARAM tetapi adalah satu kempen yang digerakkan oleh 62 NGO yang mahukan satu sistem pilihanraya yang bersih dan adil. Tidak sama dengan apa yang dilontarkan dan dipalitkan oleh pemerintah dan UMNO/BN bahawa BERSIH adalah pertubuhan haram.

Keduanya, perjuangan BERSIH adalah seperti berikut :

Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0

1. Bersihkan senarai undi

2. Mereformasikan undi pos

3. Gunakan dakwat kekal

4. Masa kempen minima 21 hari

5. Akses media yang bebas dan adil

6. Kukuhkan institusi awam

7. Hentikan rasuah

8. Hentikan politik kotor

Secara panjang lebar saya tidak 'larat' hendak menaipnya di dalam blog ini pembaca boleh terus ke laman web rasmi BERSIH yang sangat mudah untuk diakses di dalam internet melainkan sekiranya talian internet pembaca telah dipotong. Itu, sendiri mahu ingatlah.

Insya Allah, saya akan berusaha dengan sepenuh semangat padu bagi menyiapkan rencana khas ini walaupun mungkin tidak sempat untuk saya tunaikan permintaan Ustaz Riduan kerana sehingga hari Ahad ini saya akan 'berkampung' di Kuching Sarawak.

Pada kesempatan ini juga saya ingin melahirkan rasa simpati saya kepada semua kaum keluarga yang telah kehilangan seorang pejuang yang gigih dan berhati waja.

Terus berjuang!

Ulasan