Pemuda PAS Menyokong Penubuhan Gerakan Selamatkan Felda [GSF]

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Pemuda PAS Menyokong Penubuhan Gerakan Selamatkan Felda [GSF]
05 Safar 1433 bersamaan 29 Disember 2011

Dewan Pemuda PAS menyokong penubuhan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang telah yang ketuai oleh Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) bersama 11 lagi Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Masalah yang berkait dengan Felda bukanlah satu permasalah yang baru didengari. Terbaru adalah apabila Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad di dalam satu kenyataannya bertarikh 19 Oktober 2011 menyatakan niatnya untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd [FGVH] ke Bursa Malaysia [BSKL].

Tindakan ini nyata mendapat bantahan daripada sebahagian anak-anak Felda yang prihatin. Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden ANAK Saudara Mazlan Aliman pada 16 Disember 2011 yang menasihatkan agar penyenaraian FGVH ini jangan disokong secara membuta tuli tetapi perlu didasari dengan pengetahuan dan bukan sentimen.

Seruan daripada ANAK disahut oleh beberapa NGO yang lain antaranya Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Kumpulan Media Independent (Kami), Badan Bertindak Peneroka Felda (Bangkit), Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa).

Semua NGO-NGO ini bersepakat dan akhirnya menubuhkan Gerakan Selamatkan Felda [GSF] hari ini. Pemuda PAS diberitahu matlamat utama GSF ini adalah untuk menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL).

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga dimaklumkan usaha untuk menyenaraikan FGVH ke BSKL ini bakal menjejaskan aset 112,635 peneroka. Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia turut menyokong penubuhan GSF ini dan akan bersama GSF memperjuangkan hak peneroka. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga membantah penyenaraian FGVH ke BSKL sekiranya ianya akan memberikan kerugian kepada peneroka.

DPPM berpendapat penyenaraian dalam suasana ketidaktentuan pasaran pada suku pertama 2012 adalah amat berisiko dan penyerahan aset peneroka ini tidak akan menguntungkan peneroka buat jangka masa panjang. Keadaan turun-naik pasaran saham yang tidak menentu memungkinkan penyenaraian ini tidak memberi pulangan laba seperti yang diharapkan. DPPM percaya Felda mampu diperkukuh melalui pengurusan yang lebih efisien tanpa perlu campur tangan politik demi kebajikan peneroka Felda.

DPPM bersedia menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk membantu perjuangan GSF ini demi menghormati amanat asal penubuhan Felda oleh Tun Razak yang nampaknya telah dikhianati oleh anak beliau sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Disediakan oleh,
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ulasan