Andainya Saya Ahli Perkasa

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Siapa tidak kenal Datuk Ibrahim Ali, seorang ahli politik yang terkenal dengan kelantangannya. Pernah menjadi pemimpin Umno dan kini menjadi wakil rakyat bebas setelah berjaya menang kerusi Parlimen Pasir Mas di atas tiket PAS.

Kerana sukar untuk diterima oleh Pas dan sukarnya mencari tempat untuk meneruskan perjuangan maka Datuk Ibrahim Ali membentuk satu Badan Bukan Kerajaan yang dipanggil Perkasa yang dilabelkan sebagai NGO memperjuangkan Melayu dan kemelayuannnya.

Perkasa sangat digeruni oleh kaum bukan Melayu kerana banyak kenyataan daripada Perkasa menggerunkan mereka. Kelantangan Perkasa menyebabkan adakalanya Perkasa dilihat lebih Melayu daripada Umno itu sendiri sehingga berjaya menawan hati golongan veteran Umno untuk sama-sama duduk bersila dalam satu pasukan.

Datuk Ibrahim Ali sering mendapat tempat dalam media lebih-lebih lagi jika kata-kata beliau itu menyelar dan menghiris pembangkang walaupun di Parlimen beliau bukanlah Ahli Parlimen yang mewakili Barisan Nasional. Semakin kuat beliau menghentam pembangkang maka semakin mudahlah beliau muncul di kaca televisyen.

Kehebatan Ibrahim Ali walaupun sering dicop sebagai 'katak' kerana kekerapan beliau melompat parti dapat dilihat dalam media baru-baru ini dengan mengancam untuk menggerakkan puluhan ribu ahli Perkasa untuk turun berhimpun di Masjid Wilayah bagi berdepan dengan penyokong DS Anwar Ibrahim.

Sayangnya, hanya sekitar 50 orang yang menyahut seruan Presiden Perkasa pada hari itu. Himpunan yang sepatutnya bermula dengan ,solat hajat selepas waktu asar' dan qiamulail pada malam harinya tidak berjaya menarik minat dan semangat ahli Perkasa untuk bersama-sama. Bukan itu sahaja, malah Presiden Perkasa sendiri tidak dapat dilihat batang hidungnya pada hari semalam sehingga ramai tertanya-tanya di mana Datuk Ibrahim Ali?.

Buat masa ini, tiada siapa yang tahu walaupun ramai yang mengandaikan Datuk Ibrahim berada di rumah sambil menghirup secawan kopi-O sambil menanti keputusan mahkamah. Ia bukan sengaja direka seperti itu kerana ia adalah sketsa yang sama beliau lakukan semasa Himpunan Bersih 2.0 yang lalu. Dengan nada yakin beliau telah mengarahkan 50 ribu ahli Perkasa berkumpul di Taman Tasik Titiwangsa tetapi sekitar 50 orang sahaja yang hadir tanpa kelibat Presiden tersayang.

Di mana Ibrahim Ali? Hanya selepas itu barulah beliau beritahu bahawa beliau ada di rumah.

Sudah dua kali Ibrahim Ali hilang dalam aksi (missing in action) dan sanggup mempertaruhkan ahlinya untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan. Penyokong Perkasa yang berjumlah 30 orang semalam terpaksa berdepan dengan mereka yang cintakan keadilan yang berjumlah lebih daripada 10 ribu orang.

Oleh kerana itu, saya mohon ahli Perkasa supaya menilai kembali keberadaan anda di dalam NGO ini. Jika anda masih yakin lagi dengan Datuk Ibrahim Ali maka itu terpulang kepada anda tetapi saya harap anda membuat penilaian semula sama ada perlu atau tidak untuk bersama dengan NGO ini. Jika saya ahli Perkasa maka saya akan ucapkan selamat tinggal...

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
10 Januari 2012

Ulasan